Uniten jaga kebajikan penuntut sepanjang PKP

Kamal menyerahkan makanan kepada penuntut Uniten yang berada di kampus tersebut sepanjang tempoh PKP.
Kamal menyerahkan makanan kepada penuntut Uniten yang berada di kampus tersebut sepanjang tempoh PKP.
A
A
A

PUTRAJAYA - Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mengambil inisiatif menyediakan bantuan makanan percuma kepada penuntut yang berada di kelompok penginapan yang tidak pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, penyediaan makanan percuma sebanyak dua kali sehari dalam tempoh PKP telah diagihkan kepada penuntut bermula 18 Mac lalu.

Katanya, terdapat seramai 400 penuntut yang masih berada di kampus iaitu 300 penuntut di Kampus Putrajaya dan 100 penuntut di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah Pahang.

“Penyediaan makanan percuma sebanyak dua kali ini disediakan pada jam 11 pagi dan 6 petang yang bertujuan menghadkan pergerakan penuntut serta membantu mereka terus kekal berada di dalam kampus.

"Ini ditambah pula dengan penyediaan makanan tambahan seperti biskut, air mineral dan juga pek makanan segera yang turut dibekalkan secara percuma kepada semua lapisan penuntut.

"Usaha dan inisiatif penajaan makanan percuma kepada penuntut digerakkan bersama oleh Tabung Amanah Zakat Uniten (TAZU) dengan kerjasama Pusat Islam Uniten, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Uniten (STAD) dan Kelompok Penginapan di kedua-dua kampus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Uniten menubuhkan sebuah Tabung Khas Bantuan Covid-19 bagi mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu penuntut yang terkesan serta menampung sebahagian pengurusan pencegahan Covid-19.

Dalam pada itu, Kamal menyeru kepada seluruh mahasiswa supaya mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam kampus dalam tempoh PKP untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Semua penuntut perlu menggunakan ruang dan masa yang ada dengan sebaik-baiknya mengulangkaji pelajaran.

“Inisiatif Uniten ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan seluruh warga Uniten terjamin. Ini bagi memastikan pergerakan penuntut terkawal dan mengikut arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Mengenai aktiviti sepanjang PKP, Kamal berkata, Uniten mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi atas talian, berkuat kuasa serta-merta dan pelaksanaan itu membabitkan operasi di kedua-dua kampus.

Jelas beliau, semua sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara dalam talian kepada semua penuntut.

“Arahan ini dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik,” katanya

Sehubungan itu, pihak Uniten yakin bahawa mereka tidak menghadapi masalah dalam melaksanakan PdP atas talian tersebut kerana para pensyarah dan pelajar Uniten telah mempraktikkan kaedah itu sejak teknologi e-Learning berkembang di UNITEN.

Menurut Kamal, Uniten juga turut menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Selain itu, staf pentadbiran dan teknikal juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali staf yang menjalankan tugas berkaitan kepentingan universiti seperti pihak Keselamatan, Perkhidmatan IT dan Multimedia serta Perkhidmatan dan Pengurusan Fasiliti.