[VIDEO] Pemandu Myvi ‘microsleep’ tidak mengaku pandu melulu sebabkan kematian

A
A
A

MELAKA - Pemandu Perodua Myvi dipercayai ‘microsleep’ yang merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu Selasa lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Ng Chun Twan, 35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta berkenaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuh Ayer Keroh, persimpangan lampu isyarat Padang Jambu dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 10 Februari 2026.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Sabitan juga boleh menyebabkan hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani yang mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan supaya lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana bekerja biasa dalam bidang logistik dan tidak bergaji tinggi.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 2 April depan dan membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu ditahan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian tersebut, seorang penunggang motosikal maut manakala empat lagi termasuk suspek cedera selepas Perodua Myvi berkenaan terbabas ke laluan bertentangan.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Bapa kepada empat anak itu dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah.

Kemalangan tersebut melibatkan enam kenderaan iaitu tiga motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Raider R150 dan Yamaha Y15ZR serta tiga kereta iaitu Proton Saga, BMW X3 dan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi terbabit dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

End

Ringkasan AI

  • Pemandu Myvi microsleep tidak mengaku bersalah memandu berbahaya menyebabkan kematian
  • Ng Chun Twan didakwa berbahaya hingga kematian Mohd Shahrul Anuar di Melaka
  • Kesalahan boleh hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda RM50,000
  • Mahkamah tetapkan jaminan RM6,000, lesen ditahan
  • Enam kenderaan terlibat dalam kemalangan, seorang penunggang motosikal maut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!