Tragedi kepala air: Arus sungai naik mendadak

Operasi mencari dan menyelamat lapan individu yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, semalam, diteruskan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat lapan individu yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, semalam, diteruskan hari ini.
A
A
A

HULU SELANGOR – “Kami hanya mampu berdiri dan melihat arus deras yang berlaku secara tiba-tiba.”

Demikian kata B Partiban, 27, yang terselamat dan menyaksikan detik cemas kejadian kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak di sini pada Isnin.

Partiban berkata, beliau sepatutnya menyertai saudaranya, V Vijayan, 36, bersama beberapa rakan untuk beriadah di kawasan air terjun berkenaan, namun tiba lewat berbanding mangsa lain.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, ketika itu arus sungai meningkat mendadak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia bersama tiga rakannya sempat menyelamatkan diri selepas keluar lebih awal dari kawasan sungai sebelum paras air meningkat, namun tidak menyedari Vijayan dihanyutkan arus.

Terdahulu, empat mayat yang ditemukan pagi Selasa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Sebuah lori polis dilihat meninggalkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kira-kira jam 12 tengah hari dengan membawa mayat berkenaan.

Keadaan terkini di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada Selasa.
Keadaan terkini di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang masih hilang diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, pencarian tertumpu di sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus menuju ke empangan berkenaan.

Pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi kira-kira jarak tiga kilometer sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian.

Mangsa pertama, Vijayan ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan arus.

Empat lagi mangsa ditemukan kira-kira jam 9.20 pagi di sekitar kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.

Bagaimanapun, identiti serta kewarganegaraan empat mangsa berkenaan belum dikenal pasti.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin, lapan individu terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Yemen, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, seorang pelajar warga Yemen yang terselamat dalam kejadian berkenaan berkata, keadaan cuaca ketika itu baik dan tidak hujan, malah tiada sebarang petanda awal berlakunya kepala air.

Lelaki yang dikenali sebagai Muhammad, 19, berkata, dia tiba di sungai berkenaan bersama lima rakannya sebelum tiga daripada mereka pergi ke kawasan tebing untuk mandi-manda.

“Tiba-tiba arus deras, dua daripada rakan kami berjaya menyelamatkan diri, namun seorang lagi masih hilang dan belum diketahui statusnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!