Polis tahan pemain bola sepak cederakan kekasih

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemain bola sepak tempatan ditahan kerana disyaki menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya dalam kejadian di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan polis dibuat wanita terbabit pada jam 6 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan teman lelakinya hingga menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa selain telefon bimbitnya yang dirosakkan.

"Hasil maklumat dan risikan berjaya menahan pemain bola sepak terbabit di sebuah hotel di Petaling Jaya untuk membantu siasatan.

"Lelaki berusia lingkungan 30-an itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966222.

Sebelum itu, media tempatan melaporkan seorang bekas pemain kebangsaan dan masih aktif dengan sebuah pasukan terkenal dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.

Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta.