McDonald’s Malaysia labur RM1 bilion, rancang buka 100 restoran baharu

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia mengumumkan pelan pelaburan bernilai RM1 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai langkah memperkukuh pengembangan rangkaian restoran jenama itu di negara ini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, perancangan itu juga secara tidak langsung membuka banyak peluang pekerjaan baharu, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran belia di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM600 juta diperuntukkan untuk pembukaan restoran baharu termasuk latihan kakitangan dan inisiatif pembangunan belia di bawah Akademi Vokasional McDonald’s.
“Peruntukan berkenaan melibatkan pembukaan 100 restoran baharu dan mewujudkan 10,000 pekerjaan sambil menekankan dasar pengambilan pekerja 100 peratus anak tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Semula McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa di Jalan Pahang, baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian, pembaikan dan pemodenan di lebih 150 restoran sedia ada di seluruh negara.
Selain itu RM200 juta lagi akan digunakan untuk pelaburan dalam penyelesaian teknologi dan inisiatif pendigitalan perniagaan termasuk penambahbaikan sistem jualan di aplikasi McDonald’s.
“Dalam masa sama, McDonald’s Malaysia turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025 meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.
“Prestasi itu didorong oleh permintaan pelanggan yang berterusan, tawaran nilai kepada pengguna, inovasi menu secara konsisten serta fokus terhadap kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian restorannya,” ujarnya.
Perluas francais di Sabah, Sarawak Sebagai usaha mengembangkan operasi jenama makanan segera terkenal itu, Azmir memaklumkan, McDonald's Malaysia akan mengukuhkan kehadirannya di Sabah dan Sarawak serta seluruh Semenanjung Malaysia, terutama di kawasan permintaan tinggi.
"Kami melihat potensi pertumbuhan yang ketara di Sabah dan Sarawak, memandangkan masih banyak bandar tidak mempunyai restoran McDonald's.
“Pada masa sama, kami akan terus berkembang di Lembah Klang dan lokasi pertumbuhan tinggi lain di Semenanjung Malaysia," katanya.
Selain itu, syarikat tersebut turut merancang mengembangkan francaisnya daripada 25 cawangan semasa yang dikendalikan oleh 11 pemegang francais dengan menyasarkan antara 70 hingga 100 restoran dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Menurutnya, francais memerlukan pelaburan besar iaitu kira-kira RM5 juta hingga RM7 juta setiap restoran dengan tempoh pembayaran balik antara tiga hingga lima tahun.
“Pengembangan ini dijangka mewujudkan lebih daripada 10,000 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, seiring dasar pengambilan pekerja tempatan 100 peratus oleh syarikat ini.
"Setiap restoran yang dibuka turut merangsang aktiviti ekonomi tempatan yang bukan sahaja di restoran kami, tetapi merentasi sektor sokongan seperti logistik, pengubahsuaian, bekalan peralatan, pembersihan dan perkhidmatan keselamatan," katanya.
Pengusaha restoran khidmat segera itu kini mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh negara dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada tahun 2025 walaupun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Akademi Vokasional McDonald’s Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan tenaga kerja, Azmir memberitahu ia kekal sebagai tonggak utama strategi pelaburan syarikat melalui Akademi Vokasional McDonald's yang ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional.
Beliau menjelaskan, akademi berkenaan telah melatih lebih 5,000 belia termasuk peserta daripada komuniti berpendapatan rendah (B40), kawasan luar bandar, orang kurang upaya dan kumpulan Orang Asli sejak 2018.
“Akademi ini berperanan sebagai saluran bakat yang bukan sahaja untuk McDonald's, tetapi ekosistem makanan dan minuman serta hospitaliti Malaysia yang lebih luas.
“Kira-kira 80 peratus daripada mereka telah memilih untuk meneruskan kerjaya dengan kami,” ujarnya.
Pada 2023 pula beliau berkata, jenama itu menubuhkan satu daripada sembilan pusat latihan Hamburger University global di Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Pelaburan berkenaan dijangka akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dengan kira-kira 75 peratus makanan dan pembungkusan diperoleh daripada sumber tempatan.
"Malaysia merupakan antara pengeksport produk makanan halal terbesar dalam rantaian bekalan global McDonald's yang membantu mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta menyokong pembekal dan petani tempatan.
“Kecekapan operasi juga kekal menjadi keutamaan, membolehkan syarikat mengekalkan harga menu kompetitif.
"Pada 2025, kenaikan harga menu kami adalah kira-kira separuh daripada kadar inflasi Malaysia yang turut disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam kecekapan rantaian bekalan dan operasi restoran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

