KWAP lancar Jana MyPesara, sasar 3,000 pesara fasa perintis

Amir Hamzah (dua, kanan) melancarkan Jana MyPesara di Pejabat Utama KWAP pada Khamis. Foto Bernama
Amir Hamzah (dua, kanan) melancarkan Jana MyPesara di Pejabat Utama KWAP pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUMPULAN Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan program pembiayaan mikro, Jana MyPesara dengan peruntukan RM20 juta bagi membantu pesara sektor awam menjana pendapatan tambahan serta mengukuhkan daya tahan kewangan sepanjang tempoh persaraan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menyasarkan kira-kira 3,000 pesara menyertai program itu pada fasa perintis selain menegaskan inisiatif tersebut merupakan usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial pesara selaras aspirasi Ekonomi Madani.

“Bagi peringkat perintis, program itu dijangka melibatkan kira-kira 3,000 pesara dengan jumlah pembiayaan minimum RM1,000 dan maksimum RM30,000 seorang tertakluk kepada penilaian pelan perniagaan yang akan dibincangkan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Program itu diwujudkan kerana ramai pesara menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan memandangkan mereka tidak lagi mempunyai pendapatan tetap bulanan.

"Justeru, inisiatif tersebut membuka laluan baharu bagi membantu pesara memperoleh pembiayaan memulakan aktiviti ekonomi baharu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Mikro untuk pesara Malaysia di sini pada Khamis.

Melalui Jana MyPesara, AIM akan menguruskan penyaluran pembiayaan mikro kepada pesara yang layak berpandukan proses sedia ada termasuk latihan berstruktur, bimbingan keusahawanan, pemantauan berkala, sistem Sahabat serta pendekatan pembiayaan secara berkumpulan.

Program itu dirangka berdasarkan tinjauan KWAP yang menunjukkan hampir 60 peratus responden berminat menceburi bidang keusahawanan selepas bersara dengan keperluan menambah pendapatan sebagai faktor utama.

KWAP kini memberi perkhidmatan kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat selaras peralihan Malaysia ke arah status negara tua menjelang 2048 sekali gus menjadikan pelaksanaan Jana MyPesara sebagai langkah tepat membantu pesara kekal aktif dalam kegiatan ekonomi.

Amir Hamzah berkata, selain menerima pencen, pesara juga berpeluang mendapatkan dana tambahan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan melalui kemudahan pembiayaan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

“KWAP sebelum ini membantu pesara melalui pengurusan pembayaran pencen serta pelbagai program literasi kewangan bagi membantu individu yang hampir bersara memahami pengurusan kewangan termasuk cara menjaga simpanan dan merancang kewangan selepas persaraan.

"Program MyJana Pesara pula menjadi usaha tambahan untuk memperluas peluang pesara menjana pendapatan baharu,” katanya.

Mengulas prestasi ekonomi negara, beliau optimis Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berpotensi mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan awal berikutan peningkatan pelaburan, tempahan sektor pembuatan yang kukuh serta aktiviti sektor runcit yang rancak.

“Berhubung pelaksanaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula, lebih dua juta penerima telah menebus bantuan bernilai RM100 dengan jumlah penggunaan hampir RM200 juta, setakat Selasa.

“Pelaksanaan kali ini berjalan lancar tanpa masalah sistem selain penambahbaikan yang membolehkan lebih banyak kategori barangan dibeli. Kerajaan akan terus menilai serta menambah baik pelaksanaan program berkenaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, program Jana MyPesara dilaksanakan melalui dua komponen utama iaitu penyediaan pembiayaan mikro berskala kecil serta modul praktikal termasuk bimbingan pengurusan kewangan dan asas perniagaan.

“Melalui komponen pembiayaan mikro, pesara berpeluang memperoleh pinjaman berskala kecil dengan struktur yang bersesuaian dan mudah diurus mengikut kemampuan mereka sekali gus membantu memulakan atau mengembangkan aktiviti menjana pendapatan.

“Pada masa sama, penyediaan latihan akan meningkatkan keupayaan pesara mengendalikan usaha mereka secara lebih sistematik dan mampan,” jelasnya.

Tambah beliau, apabila pesara berjaya mencapai kestabilan pendapatan, impaknya melangkaui peringkat individu kerana ia turut memberi kesan positif kepada kesejahteraan isi rumah serta komuniti.

“Ia membantu isi rumah bukan sahaja mengurus perbelanjaan dengan lebih teratur dan mengurangkan tekanan kewangan malah memperkukuh keupayaan pesara untuk kekal aktif dalam komuniti.

“Inilah hasil yang ingin dicapai melalui pelaksanaan Jana MyPesara secara berdisiplin, terancang dan berlandaskan tadbir urus yang baik. Harapan kami di KWAP adalah agar pesara mendapat ruang untuk meneruskan usaha produktif tanpa sebarang kekangan,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • KWAP melancarkan Jana MyPesara dengan RM20 juta untuk pembiayaan mikro membantu pesara menjalankan perniagaan
  • Menteri Kewangan II menekankan bahawa pembiayaan mikro penting untuk penyertaan ekonomi pesara
  • Jana MyPesara menyediakan bukan sahaja pembiayaan tetapi juga bimbingan dan khidmat mentor
  • Program ini menyokong pesara dalam penjanaan pendapatan, memperkukuh ketahanan kewangan mereka
  • Minimum dana yang boleh diterima ialah RM1,000 manakala maksimum ialah RM30,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!