Rai pemenang Kempen Hulurkan Salam, Go Provilege Bank Rakyat dengan ganjaran lebih RM400,000

BANK Rakyat meraikan pemenang utama Kempen Hulurkan Salam dan Kempen Go Privilege dengan hadiah keseluruhan melebihi RM400,000.
Tuah menyebelahi Aminuddin Ayub, 46, apabila terpilih sebagai salah seorang daripada lima pemenang Kempen Hulurkan Salam Bank Rakyat, sekali gus membawa pulang kereta mewah, Jaecoo J7.
“Selepas kenderaan saya terlibat dalam kemalangan pada tahun lalu, kemenangan ini saya anggap sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka daripada Allah. Terima kasih Bank Rakyat atas peluang ini,” kata kontraktor dari Subang Jaya, Selangor itu.
Pemenang tempat kedua, Siti Norshazwanie Ali, 32, dari Kedah memenangi sebuah kereta elektrik Proton e.MAS, manakala pemenang tempat ketiga, Nor Asmah Harun, 42, membawa pulang motosikal elektrik BMW CE 04.
Sementara itu, pemenang tempat keempat, Sarojini A/P V.K. Pillai, 71, dari Melaka menerima motosikal Blueshark R1 Lite, manakala tempat kelima, Noor Siti Hajar Mansor dari Kedah memenangi telefon pintar iPhone 16.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Abd Shukor Ibrahim diumumkan sebagai pemenang Kempen Go Privilege yang menawarkan hadiah berupa wafer emas seberat 70 gram.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan setia.

“Justeru, kami menyeru agar lebih ramai pelanggan merebut peluang untuk menyertai kempen dan terus memanfaatkan pelbagai ganjaran yang ditawarkan oleh Bank Rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, penyaluran Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kami percaya, sokongan seperti ini akan membantu meringankan beban kewangan pelajar dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pengajian.
“Kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan sebegini amat penting dalam melahirkan modal insan berdaya saing serta menyokong agenda pembangunan pendidikan negara,” tambah beliau.
Melalui YBR, seramai 300 graduan cemerlang lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana diraikan menerusi Anugerah Kecemerlangan Akademik dengan jumlah insentif keseluruhan sebanyak RM300,000.
Bantuan Awal Pengajian YBR turut disalurkan dengan peruntukan berjumlah RM2.1 juta untuk membantu 2,100 pelajar daripada 20 IPTA di seluruh negara yang memerlukan sokongan kewangan bagi melanjutkan pengajian.
Ringkasan AI
- BANK Rakyat meraikan pemenang utama Kempen Hulurkan Salam dan Kempen Go Privilege dengan hadiah keseluruhan melebihi RM400,000
- Aminuddin Ayub menang kereta mewah Jaecoo J7 dalam Kempen Hulurkan Salam
- Siti Norshazwanie Ali dan Nor Asmah Harun masing-masing memenangi kereta elektrik Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04
- Datuk Seri Abd Shukor Ibrahim memenangi wafer emas 70 gram daripada Kempen Go Privilege
- Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat disalurkan dengan jumlah RM2.1 juta untuk membantu 2,100 pelajar IPTA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

