Rel Rantau Panjang–Sungai Golok bakal diaktifkan semula

Anthony (tengah) pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Khamis dan hadir sama ialah Mohd Nassuruddin (kanan) dan Che Ibrahim.
Anthony (tengah) pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Khamis dan hadir sama ialah Mohd Nassuruddin (kanan) dan Che Ibrahim.
A
A
A

KOTA BHARU - Malaysia bersedia mengaktifkan semula sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand, dalam usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi dua hala.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek membaik pulih dan membangunkan semula landasan sedia ada antara Pasir Mas dan Rantau Panjang telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Ketika ini perancangan itu sudah berada pada peringkat penyediaan dokumen tender. Kerja-kerja ini dijangka siap dalam dua tahun sekiranya pelaksanaan berjalan lancar," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini

Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Menurut beliau, bagaimanapun sambungan itu bergantung kepada kestabilan politik di Thailand.

Katanya, ia susulan beberapa pertukaran kerajaan dan menteri pengangkutan, serta pilihan raya yang bakal diadakan.

Anthony memberitahu, pengendali kereta api Thailand, State Railway of Thailand (SRT), turut berminat menyambung semula laluan itu secara asasnya.

Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Thailand sedia mengemukakan cadangan bagi membuka semula laluan kereta api Sungai Golok–Rantau Panjang sebagai usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia serta negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jurutera Penyelia, Bahagian Penambahbaikan Landasan Zon 1 SRT, Pattaphong Boonkaew berkata, langkah itu seiring dengan rancangan SRT untuk membina landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok sepanjang 215 kilometer.

Katanya, pembinaan landasan kedua dari Hat Yai ke Sungai Golok itu dianggarkan menelan belanja sehingga 44.9 bilion baht (RM5.8 bilion) dan dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Ringkasan AI

  • Malaysia bersedia mengaktifkan semula sambungan perkhidmatan kereta api Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand
  • Projek ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan perancangan berada pada peringkat penyediaan dokumen tender
  • Kerja-kerja pembaikan dan pembangunan semula landasan dijangka siap dalam dua tahun
  • Keberkesanan sambungan bergantung kepada kestabilan politik di Thailand
  • State Railway of Thailand berminat menyambung semula laluan ini dan sedang merancang pembinaan landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!