Tangguh haji: Kerajaan akur pendirian Arab Saudi

Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal. - Foto AFP
(Gambar kecil:Ahmad Marzuk Shaary)
Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal. - Foto AFP (Gambar kecil:Ahmad Marzuk Shaary)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia akur dengan pendirian Arab Saudi yang mahu umat Islam menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak koronavirus (Covid-19) dapat dikawal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan itu terpulang kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka lebih memahami keadaan di sana.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa kebarangkalian ada pengumuman lain selepas ini.

“Justeru, saya berharap umat Islam yang berhasrat dan sudah membuat persiapan boleh menerima keputusan ini dan bersabar.

“Mudah-mudahan mereka (bakal jemaah haji) juga dikira sebagai orang yang mendapat ganjaran pahala kerana sudah mula dengan niat baik namun terdapat halangan tertentu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Marzuki berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua agensi berkaitan sebagai persediaan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.

Terdahulu, Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Arab Saudi minta tangguh persiapan haji, umrah

Artikel Berkaitan:

Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten dipetik berkata, Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan mereka.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.