Bayar zakat fitrah atas talian: LZNK

Zakaria Othman
Zakaria Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Sebagai persediaan sekiranya wabak koronavirus (Covid-19) tidak reda sepenuhnya menjelang Ramadan nanti, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan beberapa platform atas talian sebagai alternatif kutipan zakat fitrah pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, untuk kemudahan umat Islam di negeri Kedah LZNK menyediakan beberapa cara iaitu melalui, laman sesawang Jom Zakat - http://jom.zakatkedah.com.my atau laman sesawang Asnaf Care - http://asnafcare.com.my dan Aplikasi Zakat On Touch (ZOT) - http://bit.ly/zotkdh (Android dan IOS).

Katanya, LZNK juga dalam proses untuk menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui e-dompet seperti Touch n Go dan Boost.

"Selain itu, kita akan berkerjasama dengan beberapa syarikat telco yang bersesuaian untuk memudahkan pembayaran zakat fitrah melalui platform yang telah disediakan oleh syarikat berkenaan.

"Bagaimanapun, untuk kemudahan golongan masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan akses secara atas talian, pihak LZNK akan merujuk kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat.

"Ia supaya pihak LZNK dibenarkan menjalankan proses kutipan zakat fitrah secara manual di kariah masing-masing dengan tahap yang minimum tanpa mengabaikan tatacara atau prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan," katanya menerusi suatu kenyataan di sini,hari ini.

Tambahnya, kadar Zakat Fitrah di Negeri Kedah pada tahun ini masih kekal seperti tahun sebelumnya iaitu dengan tiga kadar, RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.

Artikel Berkaitan: