X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu lori dijel, denda rempuh sekatan Op Covid-19

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini bagi kesalahan merempuh sekatan jalan Op Covid-19 sehingga mencederakan seorang anggota polis di pekarangan Balai Polis Trafik di sini dua minggu lepas.

Majistret Farah Ain Roslan memerintahkan P Prakash, 44, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu lori secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain dengan merempuh sekatan jalan raya polis Op Covid-19 di pekarangan Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini pada 2.30 pagi, 20 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari berkenaan, lelaki itu bertindak merempuh sekatan jalan raya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis yang bertugas ketika itu.

Terdahulu, Prakash yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian dia terlelap dan tidak berniat untuk melanggar anggota polis berkenaan manakala Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus