Covid-19: 1,000 pelindung muka untuk barisan hadapan

Alias menyerahkan pelindung muka kepada Dr Farah Najwa.
Alias menyerahkan pelindung muka kepada Dr Farah Najwa.
A
A
A

DUNGUN - Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menghasilkan 1,000 pelindung muka (face shield) bagi membantu pihak kesihatan yang menghadapi kekurangan bekalan alatan itu.

Ketuanya, Rugayah Mahmood berkata, buat peringkat permulaan, 400 pelindung muka telah diserahkan kepada Hospital Dungun.

Menurutnya, bantuan itu diharap dapat memudahkan petugas kesihatan melaksanakan tugas, sekali gus melindungi mereka ketika menjalankan rawatan dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

"Inisiatif ini dibuat apabila kita mendapati petugas kesihatan sukar untuk mendapatkan bekalan pelindung muka.

"Syukur kerana kami dapat merealisasikannya dengan kerjasama rapat antara Muslimat dan Ameerah (Wanita Muda Pas) DUN Rantau Abang sehingga berjaya menghasilkan 1,000 pelindung muka," katanya.

Majlis ringkas penyerahan itu dilakukan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun kepada Pengarah Hospital Dungun, Dr Farah Najwa Abdul Rahim di Hospital Dungun di sini semalam.

Jelas Rugayah, pihaknya juga akan turut membantu menyiapkan penutup kepala (hair cover) dan pelindung kasut (bootie) untuk kegunaan barisan hadapan.

"Pihak hospital meminta kami membantu menyediakannya dan kami akan menjahit selagi ada permintaan daripada pihak hospital, memandangkan ia adalah single use (pakai buang)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Alias turut memuji usaha yang dilakukan dan mengharapkan ia dapat membantu barisan hadapan untuk memfokuskan tugasan melakukan rawatan.

"Kita harap dengan bantuan ini, barisan hadapan kita tidak perlu lagi berdepan kesukaran kerana memikirkan tentang masalah kekurangan peralatan. Kita sebagai rakyat akan turut sama membantu mereka.

"Pada masa yang sama, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya harapkan semua patuh kepada arahan kerajaan dan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.