Kes Zara Qairina: Henti spekulasi, serah kepada mahkamah

KOTA BHARU – Masyarakat diminta supaya menghentikan segala bentuk spekulasi, tohmahan dan kenyataan tidak berasas berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang kini sedang berada di peringkat inkues di mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, sebarang percakapan tanpa fakta bukan sahaja mencemarkan proses keadilan, malah membawa dosa dan pertanggungjawaban di sisi ALLAH SWT.
Menurut beliau, perbuatan menokok tambah cerita, membuat andaian serta menyebarkan persepsi negatif adalah tidak beretika, tidak berakhlak dan bercanggah dengan prinsip Islam.
“Ini bukan sekadar nasihat, tetapi satu peringatan tegas kepada masyarakat. Kes ini berada dalam proses inkues, maka tidak ada sesiapa yang berhak membuat kesimpulan, tuduhan atau naratif sendiri.
“Biarlah mahkamah menjalankan tanggungjawabnya. Kita sebagai orang luar hanyalah menyokong, mendoakan dan memastikan proses keadilan berjalan lancar serta punca kematian dapat dirungkai,” katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Program Ihya Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM) 2026 di YAATIM di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas prosiding inkuas kes tersebut, termasuk keterangan saksi ke-62 iaitu ibu kepada salah seorang pelajar yang memaklumkan anaknya digelar sebagai ‘pembunuh’ serta mengalami tekanan emosi dan gangguan stres pascatrauma (PTSD).
Media sebelum ini melaporkan saksi ke-62 mendakwa pernah menerima gangguan daripada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir melalui aplikasi WhatsApp, yang memarahinya kerana membenarkan anaknya bercakap benar kepada pihak polis.
Saksi yang juga merupakan ibu kepada pelajar A mendakwa bahawa ibu Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat meminta mereka membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dengan menghubungi pegawai polis.
Ringkasan AI
- Masyarakat diminta hentikan spekulasi dan kenyataan tak berasas tentang kes kematian Zara Qairina
- Timbalan Menteri menegaskan percakapan tanpa fakta mencemarkan keadilan dan membawa dosa
- Menokok tambah cerita dan persepsi negatif ditegah berdasarkan prinsip Islam
- Kes berada di peringkat inkues, masyarakat tidak berhak buat kesimpulan sendiri
- Mahkamah bertanggungjawab menjalankan siasatan untuk menentukan punca kematian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

