Covid-19: Ramai penuntut di Turki mahu pulang ke Malaysia

Setakat ini, tiada pelajar Malaysia di Turki dilaporkan dijangkiti Covid-19. Foto: Xinhua.
Setakat ini, tiada pelajar Malaysia di Turki dilaporkan dijangkiti Covid-19. Foto: Xinhua.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 350 daripada 500 pelajar Malaysia di Turki menyuarakan hasrat mahu pulang ke Malaysia, berikutan penularan wabak Covid-19 di negara itu, menurut kaji selidik Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (Masat).

Presiden Masat Nur Izzah Fakharuldin berkata susulan itu satu kertas kerja dikemukakan kepada pihak kedutaan untuk menyediakan penerbangan pesawat sewa khas, dibiayai sendiri penuntut.

“Kami harap pelajar dan ibu bapa bertenang dan sabar. Kami sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan dan rakan yang lain di sini serta maklumkan sebarang perkembangan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Namun menurut Nur Izzah, usaha itu berdepan kesukaran selepas Turki pada Jumaat lalu menggantung semua penerbangan antarabangsa.

Selain itu, individu yang ingin keluar dari bandar perlu mendapatkan kebenaran gabenor negeri masing-masing.

“Pelajar Malaysia bukan hanya di Istanbul tetapi di seluruh Turki. Jadi kami perlu perhalusi banyak perkara untuk memastikan usaha ini berjaya selain mendapat kerjasama serta kebenaran kerajaan Turki,” ujarnya.

Beliau berkata meskipun dimaklumkan oleh pihak kedutaan masih terdapat penerbangan Qatar Airways untuk laluan Istanbul-Kuala Lumpur, MASAT berpendapat laluan itu memerlukan transit di negara ketiga mungkin terdedah kepada risiko jangkitan.

Penuntut program sarjana di Istanbul Aydin University itu juga menyeru semua pihak tidak berkongsi sebarang berita tidak sahih mengenai keadaan pelajar di media sosial yang boleh mencetuskan panik.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan pelajar Malaysia ditaja kerajaan Turki atau perbelanjaan sendiri.

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Turki Arhan Syafrisyah Shah Anuar berkata, urusan membawa pulang pelajar terutamanya dalam situasi sekarang amat rumit dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

“Kerajaan faham perasan ibu bapa. Kita berada dalam situasi luar jangka. Kalau sebelum ini kita hanya perlu bawa keluar dari point A ke point B. Sekarang, banyak benda perlu diambil kira pihak kerajaan.

“Jika pelajar pulang, mereka perlu dikuarantin selama 14 hari, tidak boleh balik terus ke rumah,” katanya dalam satu sesi wawancara bersama Masat di laman Facebook semalam.

Kerajaan pada Selasa mengumumkan semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan berkuat kuasa 3 April.

Arhan Syafrisyah berkata buat masa ini, kedutaan menasihatkan pelajar terus berada di Turki dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan selain mengehadkan perjalanan ke tempat awam.

Setakat ini, tiada pelajar Malaysia di Turki dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan pihak kedutaan supaya berbuat demikian bagi memudahkan usaha repatriasi, jika perlu.

Menurut data Johns Hopkins University, terdapat lebih 10,000 kes Covid-19 di Turki selain 168 kematian direkodkan setakat ini. - Bernama