Tahap pematuhan PKP penduduk Kampar capai 99 peratus

Surat kebenaran bertugas turut diperiksa bagi memastikan kesahihan perjalanan dibuat pengguna jalan raya.
Surat kebenaran bertugas turut diperiksa bagi memastikan kesahihan perjalanan dibuat pengguna jalan raya.
A
A
A

KAMPAR - Tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Kampar berada pada tahap 99 peratus.

Perkara itu diakui Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim hasil pemantauan pasukan keselamatan sepanjang PKP dilaksanakan, bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, masyarakat setempat umumnya telah memberi kerjasama yang baik terhadap perintah kawalan termasuk mengurangkan pergerakan sama ada di jalan raya dan di tempat tumpuan awam.

"Pada peringkat permulaan PKP, kita terima banyak alasan tidak munasabah daripada individu yang meninggalkan rumah.

"Terkesan dengan keadaan itu, kita gerakkan rondaan, pemeriksaan dan program advokasi dengan membuat pengumuman pematuhan PKP setiap hari di semua lokasi bagi tujuan mendidik masyarakat.

"Alhamdulillah, dalam tempoh 14 hari ini, majoriti masyarakat semakin berdisiplin, sudah kurang kenderaan berada di atas jalan raya, orang ramai juga tidak lagi bersesak di bank, pasar raya dan pasar awam," katanya ketika ditemui semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.

Kampar menjadi satu-satunya daerah di Perak yang tiada kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, Perak merekodkan 189 kes positif Covid-19 dengan dua daerah iaitu Hilir Perak dan Kinta berada di zon merah.

Mengulas lanjut, Hasron Nazri berkata, sekatan jalan raya di dua lokasi bersempadanan iaitu di daerah Batang Padang dan Kinta diperketat dengan hanya membenarkan pihak berkepentingan sahaja melepasi kawalan.

"Banyak kenderaan yang melalui sekatan ini telah diarah berpatah balik, penegasan terpaksa dilakukan apabila ramai antara mereka gagal memberi alasan munasabah.

"Secara keseluruhan, sebanyak lima sekatan jalan raya telah dijalankan dalam daerah ini dan 10 laluan ke pekan Kampar ditutup bagi mengurangkan kenderaan keluar masuk," katanya.

Hasron Nazri meninjau sekatan jalan raya di laluan Tol Gopeng, semalam.
Hasron Nazri meninjau sekatan jalan raya di laluan Tol Gopeng, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan beberapa elemen pematuhan dalam tempoh PKP tahap dua yang bermula, hari ini bagi memastikan daerah Kampar kekal sifar kes Covid-19.

Katanya, ia termasuklah meningkatkan rondaan di kawasan perumahan dan kampung-kampung, lokasi yang sering berlakunya aktiviti sosial kalangan penduduk.

"Saya hargai kesedaran masyarakat, tetapi masih ada beberapa elemen perlu ditingkatkan berkaitan pergerakan orang ramai untuk memastikan mereka benar-benar berada di rumah pada waktu yang diperuntukkan," katanya.

Setakat ini, seramai 14 individu termasuk dua warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Setiap hari, seramai 240 anggota terlibat dalam pemantauan pematuhan PKP di daerah itu melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasron Nazri bertanyakan keperluan perjalanan seorang pemandu lori ketika meninjau sekatan jalan raya di laluan Tol Gopeng, semalam.
Hasron Nazri bertanyakan keperluan perjalanan seorang pemandu lori ketika meninjau sekatan jalan raya di laluan Tol Gopeng, semalam.

Dalam perkembangan sama, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) telah menjalankan aktiviti disinfeksi di semua fasiliti dan tempat tumpuan awam secara berperingkat.

Setiausahanya, Siti Azura Juki berkata, langkah itu bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

"Kerja-kerja disinfeksi ini melibatkan medan selera, pasar awam, pusat penjaja, tandas awam dan Dataran Muhibbah di semua kawasan seliaan MDKpr.

"Kita turut menjalankan aktiviti sama di tiga rumah ibadat iaitu Masjid An Nur, Masjid Jamek Kampung Masjid dan Surau Kampung Tersusun Batu Putih serta kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar," katanya.

Menurutnya, aspek keselamatan diberi penekanan di pasar-pasar awam kerana menjadi tumpuan penduduk sekitar mendapatkan keperluan harian.

"Jumlah pengunjung yang masuk ke pasar ini dihadkan antara 30 ke 50 orang bagi satu-satu masa, semakan suhu juga diambil sebelum pengunjung dibenarkan masuk ke dalam pasar," katanya.

Setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pematuhan PKP kalangan pemilik premis perniagaan yang mana rata-rata mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.