[VIDEO] Persediaan operasi Masyair berada tahap 60 peratus

Syed Saleh (dua dari kiri) meninjau tahap persediaan khemah bagi menempatkan jemaah haji di Arafah.
Syed Saleh (dua dari kiri) meninjau tahap persediaan khemah bagi menempatkan jemaah haji di Arafah.
A
A
A

MAKKAH - Tahap kesediaan operasi Masyair dari segi khemah penginapan, bekalan elektrik, bilik air dan lain-lain kemudahan berada pada tahap 60 peratus.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua kemudahan itu akan siap sepenuhnya sebelum jemaah haji memasuki Arafah pada 8 Zulhijjah.

"Ketika ini pekerja sedang bertungkus-lumus menyiapkan segala kemudahan dan petugas haji juga memantau proses tersebut," katanya selepas meninjau persiapan operasi di Arafah, Mina dan Mudzalifah.

Operasi Masyair adalah kemuncak kepada keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Kata Syed Saleh, seperti tahun-tahun sebelumnya, Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan seperti penyaman udara dan klinik kesihatan untuk kebajikan jemaah haji melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Beliau turut mengingatkan 31,600 jemaah haji negara untuk bersedia dengan cuaca panas dan ruang khemah yang terhad.

Pekerja bertungkus-lumus menyiapkan khemah penginapan sebelum kehadiran jemaah haji.
Pekerja bertungkus-lumus menyiapkan khemah penginapan sebelum kehadiran jemaah haji.

Sementara itu, pada Isnin malam, diadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di Abraj Janadriyah.

Syed Saleh dalam ucapannya berkata, menjangkau usia 60 tahun TH, banyak pembaharun besar yang telah dilakukan dalam menjaga kepentingan umat Islam.

"Pada suatu permulaan yang amat sederhana pada 1963 hanya seramai 1,281 orang pendeposit awal yang menyimpan dengan jumlah sebanyak RM46,610.

"60 tahun kemudian iaitu sekarang TH telah mempunyai pendeposit seramai 8.9 juta orang iaitu simpanan sebanyak RM89 bilion," katanya.

Kata beliau, ia adalah bukti bahawa umat Islam merasakan TH adalah tonggak kekuatan yang harus dipertahankan dan mereka terus memberikan sokongan kepada TH.

"Dari segi urusan haji TH uruskan 1.5 juta orang Islam tunai haji. Daripada zaman kapal laut sampailah zaman kapal terbang. Daripada zaman khemah tanpa kemudahan kepada zaman khemah ada penyaman udara.

Majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di Abraj Janadriyah.
Majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di Abraj Janadriyah.

"Daripada bawa beg atas bumbung bas kepada era beg diuruskan petugas TH sampai di tepi katil jemaah dan macam-macam lagi kemudahan seperti pusat rawatan canggih," katanya.

Kata Syed Saleh, dengan pembaharuan dan pengurusan cekap itu maka membolehkan TH terus diperakui sebagai operator terbaik di dunia apabila menerima Anugerah Labaittom daripada kerajaan Arab Saudi.

"Kita juga dapat pengiktirafan daripada jemaah yang berpuas hati dengan perkhidmatan TH apabila pada tahun lepas kita mencatatkan 94 peratus kepuasan pelanggan," katanya.