Kegiatan bangunkan platform judi, bekal mesin slot tumpas

M Kumar
M Kumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan membangunkan platform perjudian dalam talian, membekal mesin slot serta alat gantinya untuk pasaran dalam dan luar negara.

Serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sekitar Damansara dan Subang Jaya pada 9 Oktober lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seramai 147 orang termasuk tujuh warga asing berusia 20 hingga 50 tahun ditahan hasil serbuan ke atas tujuh premis pejabat dan gudang.

Menurutnya, polis telah merampas perkakasan dan peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian, mesin slot dan alat ganti mesin slot antaranya 139 komputer riba, telefon bimbit (182 unit), monitor (126 unit), kad akses (84 unit) serta dokumen kerja (13 unit).

"Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua premis tidak memiliki kebenaran sah daripada mana-mana pihak termasuk Kementerian Kewangan untuk menjalankan aktiviti menyediakan perkhidmatan terbabit.

"Tiga kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan dikawal selia D7 Bukit Aman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketiga-tiga kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan bersetuju untuk menuduh seramai 133 orang mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing.

Tambahnya, JSJ sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan-tindakan lain di bawah undang-undang sedia ada contohnya seperti peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jelasnya, PDRM memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk memastikan undang-undang sentiasa terpelihara dalam membanteras aktiviti perjudian dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"PDRM turut menasihatkan agar orang ramai tidak terlibat dalam aktiviti perjudian yang membawa banyak kesan buruk kepada masyarakat terutamanya dari segi aspek keruntuhan moral, psikologi dan masalah sosial," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia menumpaskan kegiatan membangunkan platform perjudian dalam talian dan membekal mesin slot
  • Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap di Damansara dan Subang Jaya
  • Seramai 147 orang termasuk tujuh warga asing ditahan
  • Polis merampas perkakasan dan peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian
  • Tiga kertas siasatan dibuka dan 133 orang akan didakwa mengikut undang-undang berkaitan judi dan imigresen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!