Sindiket jual cap keselamatan dan pasport palsu Indonesia tumpas

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket menawarkan cap pas lawatan sosial, pasport antarabangsa Indonesia dan slip e-pass pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu pada harga antara RM100 hingga RM350 terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada Selasa.
Sindiket berkenaan disyaki aktif sejak hampir setahun lalu dan menyasarkan warga Indonesia yang mahu mendapatkan dokumen perjalanan serta permit kerja palsu bagi mengelak tindakan undang-undang.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu hasil risikan selama tiga bulan melibatkan 23 pegawai daripada Unit Risikan dan Operasi, Sektor Operasi Bahagian Penguat Kuasa.
"Hasil serbuan pertama, kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang bersekongkol dengan sindiket serta seorang warga Indonesia yang bertindak sebagai 'runner utama'.
"Pemeriksaan menemui empat pasport antarabangsa Indonesia palsu dan sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan sebagai pengangkutan utama bagi menyerahkan dokumen kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, susulan itu, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah flat yang dijadikan makmal pemalsuan dokumen dan hasilnya pasukan menemui satu komputer, mesin pencetak, mesin 'laminate', lapan getah cap keselamatan pelbagai pintu masuk, tiga pasport yang diubah maklumat serta dua pelekat 'Malaysia Automated Passport System' (MALPASS) disyaki palsu.
"Maklumat lanjut daripada tangkapan kedua membawa kepada serbuan ketiga di lokasi berdekatan yang menemukan 25 getah cap keselamatan Imigresen Malaysia pelbagai pintu masuk serta beberapa dokumen rasmi yang telah dipalsukan.
"Dalam serbuan itu, seorang lelaki dipercayai pelanggan turut ditahan manakala RM1,400 wang tunai disita," katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan, lima lelaki ditahan iaitu seorang warga tempatan dan empat warga Indonesia yang disiasat di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Siasatan mendapati sindiket ini menawarkan cap pas lawatan sosial palsu pada harga RM120 serta pasport antarabangsa Indonesia yang diubah suai dengan bayaran RM350.
"Selain itu, sindiket turut menawarkan slip e-pass PLKS JIM yang dimanipulasi pada kadar RM100," katanya.
Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk rakyat tempatan yang bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin.
"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan itu boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam negara," tegasnya.
Ringkasan AI
- Kegiatan sindiket menawarkan dokumen perjalanan dan permit kerja palsu di Malaysia terbongkar
- Sindiket berkenaan menyasarkan warga Indonesia untuk mengelak tindakan undang-undang
- Operasi Jabatan Imigresen Malaysia menghasilkan penangkapan dan penemuan dokumen palsu
- Serbuan melibatkan penggunaan rumah flat sebagai makmal pemalsuan dokumen
- Lima individu ditahan dan disiasat di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

