Penuntut IPT, pelajar sekolah menengah larikan diri terkejut kehadiran polis

Kamarulzaman
Kamarulzaman
A
A
A

JELI – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah bertindak melarikan diri kerana terkejut dengan kehadiran polis ketika mereka memberhentikan kereta jenis Perodua Myvi di tepi jalan di Kampung Sungai Rual di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, petugas Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang sedang menjalankan rondaan melihat kenderaan berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun, ketika anggotanya cuba menghampiri kereta terbabit, pemandu bertindak memecut laju dan enggan memberikan kerjasama.

“Susulan itu, anggota telah mengejar kereta tersebut dan pemandu turut bertindak menghalang serta menghimpit kenderaan polis selain memandu secara melulu.

“Kenderaan terbabit akhirnya berjaya ditahan di Kampung Rabbana. Namun pemandu cuba melarikan diri sehingga berlaku pergaduhan kecil sebelum berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, semakan dalam kenderaan itu turut menemui seorang penumpang perempuan.

Ujarnya, siasatan awal mendapati pemandu tersebut merupakan seorang penuntut di sebuah IPT manakala penumpang pula masih bersekolah.

“Kedua-duanya dipercayai terkejut dengan kehadiran polis dan pemeriksaan yang mahu dijalankan,” katanya.

Kamarulzaman memberitahu, semakan lanjut juga mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, kes disiasat bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman terhadap pemandu lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama sekiranya pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa serta mematuhi undang-undang ditetapkan.

Ringkasan AI

  • Seorang penuntut IPT dan pelajar sekolah menengah lari kerana terkejut dengan kehadiran polis ketika diberhentikan
  • Kereta Perodua Myvi mereka diberhentikan oleh polis di Kampung Sungai Rual kerana mencurigakan
  • Pemandu kereta bertindak memecut laju dan menghalang kereta polis
  • Kedua-dua pelajar itu berjaya ditahan tanpa rekod jenayah lampau
  • Kes disiasat bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan permohonan reman bagi pemandu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!