Budak 5 tahun maut dirempuh: Pemandu BYD dirawat di hospital dalam pantauan polis

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terlbat kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terlbat kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis sedang melengkapkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini Sabtu lalu, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

"Pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan selain memantau keadaan pemandu terbabit.

“Kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, kenderaan BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Akibat kemalangan itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.

Kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan di HKL.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!