X

Kindly register in order to view this article
!

Tahanan tidak diletak berasak-asak dalam lokap: Ismail Sabri

Ismail Sabri bercakap pada sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Tidak timbul isu tahanan yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diletakkan secara beramai-ramai dalam satu lokap, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mengikut prosedur, mereka yang ditahan di sekatan jalan raya akan dibawa ke balai polis dan ditentukan sama ada dikompaun secara terus atau diberi jaminan polis untuk pulang, sementara kertas siasatan terhadap mereka dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Kita pun memang dari segi prosedur operasi standard kita, jarakan sosial adalah satu meter, jadi tak mungkin kita akan letakkan mereka berasak-asak dalam lokap.

"Jadi mereka akan dibenarkan pulang dan didakwa di mahkamah atau diberi kompaun terus di balai polis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Covid-19 bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, tahap kepatuhan rakyat, bagaimanapun menunjukkan peningkatan selepas jumlah tahanan menurun sedikit kepada 742 berbanding 828 semalam.

"Saya harap trend ini berterusan. Ia satu gambaran bahawa rakyat semakin sedar tentang perlunya mereka mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan," katanya menambah bahawa sebanyak 1,547 sekatan dengan 383,488 kenderaan diperiksa semalam sahaja.

Setakat hari ini, beliau berkata, seramai 165 individu dituduh dan enam daripadanya dijatuhkan hukuman denda atau penjara.

"Saya ingin maklumkan (hukuman) penjara dikenakan kepada pesalah yang ingkar ialah satu hingga empat bulan, jadi saya harap semua rakyat perlu melihat bahawa perintah ini satu perintah yang serius," katanya.

Ismail Sabri berkata, pada masa ini semuanya terserah kepada rakyat untuk menentukan sama ada PKP akan diteruskan ke fasa ketiga, pada bulan puasa, begitu juga ketika Hari Raya Aidilfitri. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kita boleh sambut Hari Raya jika semua rakyat patuhi PKP'


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus