Ismail Sabri puji inisiatif polis Terengganu

Ismail Sabri. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri. FOTO BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif polis Terengganu melaksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di jalan raya bagi mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan sebagai modul yang sangat baik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia mempertimbang mana-mana modul atau cadangan yang sesuai untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama.

"Itu merupakan satu model yang sangat bagus yang diperkenalkan kerajaan Terengganu tetapi kita lihat (untuk melaksanakan secara menyeluruh) sebab mungkin di Terengganu jumlah kenderaan agak kecil.

"Sedangkan di seluruh negara kita, jumlah kenderaannya besar terutamanya di Kuala Lumpur dan sebagainya. Jadi kita akan tengok, kaji pelbagai cadangan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang diambil polis Terengganu bagi mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh PKP fasa kedua nanti.

Terdahulu, polis Terengganu hari ini mengumumkan akan melaksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di jalan raya bermula esok bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri itu.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran ganjil dibenarkan berada di jalan raya esok, diikuti nombor genap pada Khamis dengan sistem itu berterusan hingga 14 April ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau juga banyak mendapat cadangan daripada rakyat berhubung usaha untuk mengurangkan pergerakan sepanjang PKP ini.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang minta supaya celup jari dengan dakwat macam mengundi, ada juga yang minta pakai kad. Kad merah boleh keluar hari Rabu, kad kuning hari Selasa dan sebagainya.

"Kita akan lihat secara teliti dengan cadangan dan juga saranan yang diberikan, kalau bersesuaian mungkin kita akan pertimbangkan," katanya.