Realiti politik jadikan Pas teras Perikatan Nasional

Tidak dapat dinafikan, Pas telah muncul sebagai parti paling dominan dalam PN. Gambar hiasan
Tidak dapat dinafikan, Pas telah muncul sebagai parti paling dominan dalam PN. Gambar hiasan
A
A
A

PERIKATAN NASIONAL (PN) kini sedang berdepan dengan satu persimpangan penting yang bakal menentukan hala tuju blok politik ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Isu kepimpinan dan hala tuju parti bukan lagi perkara remeh yang boleh dipandang enteng, malah ia adalah faktor penentu kepada keupayaan PN untuk kekal relevan sebagai sebuah blok politik pembangkang yang diyakini rakyat.

Dalam konteks ini, persoalan sama ada Pas atau Bersatu yang wajar menjadi teras kepimpinan PN semakin mendesak untuk dijawab dengan jujur berdasarkan realiti semasa.

Tidak dapat dinafikan, Pas telah muncul sebagai parti paling dominan dalam PN.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi bukti paling jelas apabila Pas berjaya meraih 43 kerusi Parlimen, sekali gus menjadikannya parti tunggal terbesar dalam blok PN.

Dominasi ini diperkukuhkan lagi dengan pencapaian cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, apabila Pas menguasai 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk mempertahankan kuasa di Kelantan dan Terengganu serta merampas Perlis dan Kedah.

Kekuatan ini adalah manifestasi kepada sokongan akar umbi yang kukuh.

Pas memiliki jentera parti yang tersusun, kepimpinan yang stabil serta rekod kemenangan konsisten di kawasan majoriti Melayu-Islam.

Hakikat bahawa parti ini mampu menang secara bersendirian di banyak kawasan menunjukkan Pas sebenarnya tulang belakang kepada seluruh blok tersebut.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, adalah lebih munasabah kepimpinan tertinggi PN diterajui oleh Pas kerana ia selari dengan prinsip kepimpinan berasaskan kekuatan sebenar di mana mandat rakyat perlu diterjemahkan secara jujur dalam struktur organisasi PN.

Sebaliknya, jika Bersatu terus mengekalkan status sebagai peneraju PN, ia berisiko besar menjadi liabiliti kepada blok ini.

PRU15 dan PRN telah menunjukkan bahawa sebahagian besar kemenangan Bersatu tidak mungkin tercapai tanpa bantuan gelombang hijau yang digerakkan oleh Pas.

Ketergantungan Bersatu pada kekuatan akar umbi Pas begitu jelas, sehingga boleh dikatakan tanpa sokongan jentera Pas, Bersatu hampir mustahil mengekalkan jumlah kerusinya.

Tambahan pula, Bersatu kini berdepan masalah persepsi awam. Skandal seperti Jana Wibawa sedikit sebanyak mencalarkan imej parti tersebut, dan jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan reputasi keseluruhan PN.

Sebaliknya, Pas dilihat mempunyai imej kepimpinan yang lebih bersih dan bebas daripada kontroversi besar, menjadikannya aset sebenar kepada PN.

Jika Bersatu kekal menerajui, PN berisiko kehilangan undi atas pagar kerana rakyat semakin menuntut sebuah blok politik pembangkang yang benar-benar bersih, berintegriti dan diyakini.

Dengan kata lain, PN mesti dipimpin oleh parti yang membina, bukan membebankan. Bersatu, dengan segala keterbatasan semasa, sukar menjadi penentu kepada masa depan PN.

Sebaliknya, Pas mempunyai jenama politik tersendiri yang lebih kuat, berakar umbi dalam masyarakat, dan konsisten dengan naratif perjuangan Islam yang diterima oleh pengundi majoriti.

Usul yang diluluskan dalam Muktamar Pas Pusat Kali Ke-71 baru-baru ini turut memperkukuhkan hujah bahawa Pas harus memimpin PN.

Dalam muktamar yang berlangsung pada 15 dan 16 September lalu, para perwakilan sebulat suara mendesak agar PN dipimpin oleh Pas dan menampilkan calon perdana menteri daripada parti itu.

Usul ini adalah cerminan kepada realiti politik semasa yang harus diambil serius oleh Majlis Presiden PN.

Majlis Presiden PN yang bakal bermesyuarat dalam tempoh terdekat tidak boleh memandang ringan tuntutan ini.

Jika suara akar umbi Pas tidak dihormati, risiko perpecahan dalaman amat besar dan ini boleh melemahkan persiapan menghadapi PRU16.

Pas telah membuktikan dirinya sebagai tunjang kepada kemenangan PN. Mengabaikan realiti ini sama sahaja seperti menafikan mandat rakyat yang telah diterjemahkan melalui peti undi.

Jika Majlis Presiden PN menerima tuntutan Muktamar Tahunan Pas dan menampilkan Pas sebagai teras kepimpinan, ia akan membuka peluang besar untuk memperkukuhkan keyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu-Islam yang sudah pun memberi mandat besar kepada Pas dalam PRU15 dan PRN.

Keputusan ini akan menzahirkan kesepaduan dalaman PN, menambah keyakinan akar umbi serta mengelakkan risiko sabotaj atau perpecahan jentera pilihan raya.

PN akan tampil lebih mantap, jelas dan bersedia sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

Sebaliknya, jika tuntutan Pas diketepikan dan Bersatu kekal menerajui PN, risiko dalaman akan semakin meruncing.

Bukan sahaja semangat akar umbi Pas mungkin terjejas, malah undi atas pagar juga boleh berpaling ke arah lain kerana melihat PN gagal menyusun kepimpinan secara berasaskan kekuatan sebenar. Bersatu akan terus dilihat sebagai liabiliti, manakala imej integriti PN akan terheret dengan isu-isu lama.

Keadaan ini berpotensi menyebabkan PN hilang momentum yang selama ini dikaitkan dengan gelombang hijau.

Jika PN mampu menyelesaikan isu kepimpinan lebih awal dengan menobatkan Pas sebagai teras, mereka akan mempunyai tempoh yang cukup panjang untuk mengatur strategi, menstabilkan organisasi dan menyiapkan jentera menjelang PRU16.

Namun, jika isu ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian, bukan sahaja peluang PN untuk menawan Putrajaya semakin tipis, malah blok ini boleh berdepan risiko keretakan yang akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Oleh itu, masa depan PN amat bergantung kepada keberanian pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan strategik.

Realiti politik hari ini jelas, Pas adalah nadi sebenar PN. Sama ada PN mampu memanfaatkan kekuatan ini atau terus terikat dengan liabiliti, itulah yang akan menentukan sama ada PRU16 menjadi peluang kemenangan atau sekadar satu lagi episod kehilangan peluang.

** Syed Agil Alsagoff adalah penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!