Ingatkan sakit nak tarik perhatian, rupanya kanser pangkal otak

Nik Nur Atiqah (kanan) mendukung Nur Eleena Huwaina dan memegang tangan Nur Elyana Umairah yang terlantar di samping dua lagi anak pasangan itu.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Nik Nur Atiqah (kanan) mendukung Nur Eleena Huwaina dan memegang tangan Nur Elyana Umairah yang terlantar di samping dua lagi anak pasangan itu. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Perubahan anak sulung yang pada awalnya disangka sekadar mahu menarik perhatian akhirnya membawa berita duka buat seorang ibu di Kampung Binjai, di sini apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal.

Nik Nur Atiqah Rusdi, 34, berkata, anaknya, Nur Elyana Umairah Mohd Khairul Nizam pada mulanya kelihatan lemah, berjalan terhuyung-hayang dan sering mengadu pening kepala sejak sebulan lalu.

Dia menyangka keadaan itu hanyalah alasan kanak-kanak tersebut enggan ke sekolah atau mahu diberi perhatian kerana dia lebih menumpukan pada anak bongsunya, Nur Eleena Huwaina, berusia enam bulan yang sumbing dan perlu diberi minum susu menggunakan tiub.

Menurut Nik Nur Atiqah, Nur Elyana Umairah yang juga murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Mentuan, mula menunjukkan simptom sakit kepala semasa di sekolah hingga guru memintanya datang menjemput anaknya itu pulang.

“Dia pernah cakap, “mama sayang adik sahaja,” masa itu saya fikir dia merajuk.

“Apabila dia jalan tak betul dengan mata kuyu, saya ingatkan dia nak tarik perhatian tapi lepas bawa ke hospital memang terkejut doktor sahkan kanser,” katanya pada Selasa.

Nur Elyana Umairah dibawa ke Klinik Kesihatan Binjai sebelum dirujuk ke Hospital Kota Bharu dan hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati terdapat ketumbuhan sebesar tiga sentimeter di pangkal otak.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengesahkan Nur Elyana Umairah menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal dan tidak boleh dibedah atau menjalani rawatan kemoterapi kerana kedudukan tumor terlalu berisiko.

Nur Elyana Umairah kini terlantar dan menjalani rawatan radioterapi setiap hari bagi memperlahankan pertumbuhan tumor sejak 15 hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kesihatannya semakin merosot apabila tidak lagi boleh makan secara biasa sejak minggu lalu dan terpaksa bergantung kepada tiub khas untuk minum susu serta ubat.

“Dulu dia ceria dan suka ke sekolah, tapi sekarang hanya mampu sebut satu, dua perkataan saja.

“Doktor beritahu tiada harapan sembuh dan minta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya sebak.

Pada masa sama, keluarga ini juga diuji dengan Nur Eleena Huwaina yang sumbing bibir dan lelangit menyebabkanya tidak boleh menyusu secara normal kerana berisiko masuk ke otak atau paru-paru.

Nik Nur Atiqah (kiri) menerima sumbangan wang tunai dan kerusi roda daripada daripada ISejahtera yang disampaikan Mohammad Hamizan (kanan). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Nik Nur Atiqah (kiri) menerima sumbangan wang tunai dan kerusi roda daripada daripada ISejahtera yang disampaikan Mohammad Hamizan (kanan). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Nur Eleena Huwaina juga bergantung sepenuhnya kepada tiub khas untuk minum susu setiap empat jam sekali.

“Pembedahan pertama bagi membetulkan bibir sepatutnya dilakukan bulan lalu, namun ditunda ke 22 November ini atas faktor kesihatan,” katanya.

Suami Nik Nur Atiqah, Mohd Khairul Nizam Ghazali, 32, bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan.

“Memang tak cukup nak beli susu khas, lampin pakai buang dan kos ulang-alik ke hospital yang mencecah RM3,000 sebulan.

Nik Nur Atiqah berhenti kerja di sebuah restoran makanan segera pada Mei tahun lalu dan menumpang di rumah ibunya, Maheran Tengku Jusoh, 55, yang juga sudah tidak lagi bekerja.

Keluarga ini pernah menerima sumbangan makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Nik Nur Atiqah kini memberi tumpuan kepada dua anak sakit serta dua lain yang normal berusia empat dan enam tahun.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03018021725015 atas nama Nik Nur Atiqah Rusdi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah, yang hadir menziarahi mereka menyerahkan kerusi roda boleh laras, susu, lampin dan bantuan kewangan kepada keluarga berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa keluarga itu akan dijadikan keluarga angkat dan akan dibantu bagi urusan mendapatkan bantuan bulanan melalui jabatan berkaitan.

“ISejahtera akan terus bantu dan pantau supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!