Bersatu Gopeng persoal keikhlasan Muhyiddin

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gopeng mempersoalkan keikhlasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjalin kerjasama bersama Pas susulan kenyataan berhubung pemansuhan Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bersatu Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak berkata, pihaknya memandang serius pendedahan sepucuk surat bertarikh 27 Januari 2026 yang menyatakan kononnya Bersatu dan Pas telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pertemuan rasmi antara kepimpinan Bersatu dan Pas pada 16 Januari lalu, perkara tersebut sama sekali tidak pernah dibincangkan, apatah lagi dipersetujui oleh Pas.
"Pas telah mengeluarkan surat rasmi balasan daripada Presidennya bertarikh 28 Januari 2026 yang secara jelas menafikan dakwaan berkenaan serta menegaskan perkara itu tidak pernah dipersetujui oleh parti berkenaan.
"Dakwaan ini jelas bercanggah dengan fakta perbincangan sebenar dan berpotensi mengelirukan ahli serta penyokong PN,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Ahmad berkata, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan Muhyiddin dalam mengadakan perbincangan bersama rakan komponen khususnya Pas.
Tambah beliau, sebarang keputusan strategik melibatkan struktur dan kepimpinan PN seharusnya dibuat melalui perbincangan rasmi serta persetujuan bersama semua parti komponen.
"Kenyataan yang tidak selari dengan realiti perbincangan sebenar ini bukan sahaja mengelirukan malah boleh ditafsirkan sebagai tidak telus terhadap rakan sekutu politik.
"Tindakan unilateral dan kenyataan bercanggah dengan fakta hanya akan melemahkan kepercayaan, merosakkan perpaduan serta menjejaskan kestabilan gabungan politik itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi PN agar mengambil serius isu berkenaan dan tampil dengan penjelasan terbuka demi menjaga keutuhan, integriti serta masa depan PN sebagai sebuah gabungan politik yang diyakini rakyat.
Ringkasan AI
- Bersatu Bahagian Gopeng mempersoalkan keikhlasan Muhyiddin Yassin dalam kerjasama dengan Pas mengenai pemansuhan Jawatan Pengerusi PN
- Surat bertarikh 27 Januari 2026 menyatakan kononnya Bersatu dan Pas telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan tersebut, tetapi Pas menafikan
- Pada 16 Januari, pertemuan antara kepimpinan Bersatu dan Pas tidak pernah membincangkan atau mempersetujui pemansuhan jawatan berkenaan
- Presiden Pas mengeluarkan surat rasmi yang menegaskan perkara itu tidak pernah dipersetujui oleh parti
- Perkembangan tersebut menimbulkan pertanyaan tentang keikhlasan Muhyiddin dan menekankan keputusan strategik harus dibuat melalui persetujuan bersama semua parti komponen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

