Bekas PTD didakwa lagi terima wang haram RM145,000

SHAH ALAM - Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM145,000, tahun lalu.
Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju berwarna hitam.
Mengikut semua pertuduhan, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bank di Ampang antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin, menguna pakai jumlah RM250,000 termasuk syarat tambahan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi empat kes terdahulu.
“Saya mohon kes ini dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kerana ia menggunakan saksi serta fakta kes serupa,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Aizul Rohan Anuar tiada bantahan cadangan pihak pendakwaan.
Mohd Nasir membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mac depan.
Pada Khamis, Muhammad Hafizuddeain didakwa atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 dari 2024 hingga tahun lalu.
Dia merupakan PTD pertama dituduh atas kes menerima wang haram.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, mengaku tidak bersalah, atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, pada 2024 dan tahun lalu.
Ringkasan AI
- Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa menerima wang haram berjumlah RM145,000 tahun lalu
- Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan
- Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Ampang antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025
- Boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah kesalahan atau RM5 juta
- Isteri ketiganya juga didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

