'Saya hanya beri yang terbaik' - Faisal Halim

KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim enggan 'mendabik dada' biarpun mempamerkan prestasi memukau ketika membantu pasukan menewaskan Cong An Hanoi 2-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Pemain sayap lincah yang mesra disapa Mickey itu sebaliknya menyifatkan dua gol yang diledaknya itu hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan kemenangan pasukan.
Jelas pemain berusia 29 tahun itu, beliau enggan hanyut dengan pujian ramai susulan prestasi konsistennya yang kini telah mengumpul 17 gol dalam semua kejohanan musim ini.
"Saya hanya berikan yang terbaik buat Selangor pada setiap perlawanan. (Tidak kisah) sekiranya saya jaringkan gol atau tidak, yang penting pasukan dapat melakar kemenangan dan ini adalah hadiah buat penyokong kami," katanya.
Dalam pada itu, Faisal turut meniupkan amaran kepada rakan sepasukan agar tidak terleka dengan kedudukan semasa di pentas ACC.
Meskipun skuad Gergasi Merah kini memimpin Kumpulan A dengan lapan mata, tiket ke separuh akhir masih belum terjamin sepenuhnya memandangkan pencabar terdekat, BG Pathum United sedang mengekori rapat dengan perbezaan hanya satu mata.
Justeru, beliau melihat baki satu perlawanan terakhir nanti sebagai aksi hidup mati yang wajib dimenangi.
"Saya harap rakan-rakan sepasukan tidak leka kerana kita ada satu lagi perlawanan yang akan mengesahkan kemaraan pasukan nanti.
"Ini adalah perlawanan yang dianggap seperti aksi penentuan buat pasukan Selangor. Tiga mata ini cukup penting buat pasukan (dalam misi lolos ke separuh akhir)," ujarnya.
Ringkasan AI
- KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim enggan 'mendabik dada' biarpun mempamerkan prestasi memukau dalam perlawanan
- Faisal menyifatkan dua gol yang diledaknya itu sebahagian daripada tanggungjawab untuk kemenangan pasukan
- Pemain berusia 29 tahun itu tidak hanyut dengan pujian dan telah mengumpul 17 gol dalam semua kejohanan musim ini
- Faisal menekankan pentingnya pasukan untuk tidak terleka dengan kedudukan semasa di Kejuaraan Kelab ASEAN
- Meniupkan amaran kepada rakan sepasukan untuk menganggap baki satu perlawanan terakhir sebagai aksi hidup mati yang wajib dimenangi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
