Kemasukan Tahun 1: KPM bina bilik darjah IBS tangani kepadatan murid

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil pendekatan pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), khususnya di sekolah-sekolah padat, susulan pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah berkenaan dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek bagi menampung pertambahan murid berikutan situasi double cohort, iaitu kemasukan serentak murid berusia enam dan tujuh tahun yang dijangka memberi tekanan kepada kapasiti sekolah tertentu.
Menurut beliau, KPM sedang meneliti tahap ketersediaan fasiliti bilik darjah di semua sekolah bagi mengenal pasti institusi pendidikan yang berisiko menghadapi kekurangan ruang.

"Bukan semua sekolah berada dalam keadaan padat. Masih banyak sekolah yang mempunyai ruang mencukupi dan tidak berdepan masalah dari segi fasiliti.
"Namun, bagi sekolah yang dikenal pasti tidak mampu menampung pertambahan murid, KPM akan mengambil pendekatan pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah IBS," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA) di Jelapang pada Jumaat.
Kak Woh menjelaskan, kaedah IBS membolehkan kemudahan tambahan disiapkan dalam tempoh lebih singkat sekitar empat hingga lima bulan selepas kelulusan diberikan berbanding secara konvensional yang lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.
“Kaedah IBS bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah dilaksanakan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, khususnya di sekolah-sekolah padat seperti di Cyberjaya, bagi memastikan bilik darjah tambahan dapat disediakan dalam tempoh terdekat.
"Buat masa ini, kita masih meneliti keperluan sebenar setiap sekolah. Selepas semua maklumat dikenal pasti, barulah tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.
Beliau berkata, perancangan dan persediaan dari segi operasi sekolah serta kesiapsiagaan guru memang menjadi fokus utama KPM sejak pengumuman dasar berkenaan dibuat.
"KPM sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan sekolah dan guru bersedia sepenuhnya pada tahun hadapan, bukan sahaja untuk menampung murid berusia enam tahun, tetapi juga murid berusia tujuh tahun," katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, iaitu sehingga sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kos pembinaan sebuah bilik darjah antara 2016 hingga 2020 dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala kos bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.
Anggaran tersebut hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri untuk membina bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah padat
- Langkah ini diambil untuk menampung pertambahan murid akibat dasar kemasukan serentak murid berusia enam dan tujuh tahun
- Bukan semua sekolah menghadapi masalah kekurangan ruang dan kepadatan
- Kaedah IBS membolehkan pembinaan kemudahan tambahan disiapkan lebih cepat, dalam empat hingga lima bulan
- Kos pembinaan sebuah bilik darjah meningkat ketara, dari RM180,000 hingga RM520,000 dalam tempoh 2016 hingga 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

