[VIDEO] 'Saya tak tahu gula barang kawalan'

A
A
A

SHAH ALAM - "Saya tak tahu gula ini barang kawalan, memang saya jual pada harga RM3 sekilogram, pelanggan pun tak pernah persoalkan.”

Demikian alasan diberikan seorang pekerja warga Bangladesh ketika pemeriksaan Operasi Sinergi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di beberapa premis perniagaan sekitar Sri Muda di sini pada Khamis.

Lelaki terbabit turut memberikan helah kononnya tidak tahu harga kawalan ditetapkan oleh kerajaan selain memaklumkan majikannya tidak pernah memberitahu tentang perkara itu.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai barangan lain dijual tanpa sebarang tanda harga selain ada yang tanda harga yang mengelirukan.

Pegawai KPDN sedang menjalankan pemeriksaan dalam operasi dijalankan di Sri Muda, Shah Alam pada Khamis.
Pegawai KPDN sedang menjalankan pemeriksaan dalam operasi dijalankan di Sri Muda, Shah Alam pada Khamis.

Dalam operasi sama, seorang individu dipercayai pemilik sebuah kedai runcit memberi alasan tidak sempat hadir ke premis setelah dihubungi pekerjanya.

Wanita warga Indonesia itu bertindak menghubungi individu terbabit setelah diminta KPDN supaya hadir untuk pemeriksaan dokumen berkaitan perniagaan yang dijalankan.

Pekerja kedai runcit itu bagaimanapun memaklumkan majikannya tinggal di kawasan perumahan bersebelahan premis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi pemeriksaan khas berkenaan dijalankan susulan aduan awam mengenai premis perniagaan yang disyaki dikendalikan oleh warga asing.

Pelbagai helah dan taktik digunakan beberapa peniaga serta pekerja bagi mengelak dikenakan tindakan.
Pelbagai helah dan taktik digunakan beberapa peniaga serta pekerja bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Operasi sinergi itu melibatkan kekuatan 21 anggota penguat kuasa, terdiri daripada 15 pegawai KPDN Selangor dan enam pegawai SSM Selangor.

"Pemeriksaan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima dengan tumpuan kepada premis perniagaan yang disyaki dimiliki atau dikendalikan oleh warga asing," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi pada Khamis.

Katanya, pemeriksaan penuh dibuat ke atas hampir 30 premis perniagaan meliputi semua kesalahan di bawah bidang kuasa KPDN dan SSM.

"Antara fokus utama operasi ialah pematuhan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan, serta pemilikan permit barangan kawalan seperti minyak masak dan gula,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Perihal Dagangan, Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lapan kes pelanggaran akta di bawah KPDN dan lima kes ketidakpatuhan di bawah akta SSM.

"Secara keseluruhan, sebanyak 13 kes telah diambil tindakan serta-merta melalui pengeluaran kompaun terhadap premis terlibat dengan jumlah hampir RM10,000," katanya.

Pemeriksaan dijalankan memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Perihal Dagangan, Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Pemeriksaan dijalankan memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Perihal Dagangan, Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Tambahnya, pihak SSM pula memberi tumpuan kepada pematuhan perundangan korporat termasuk pendaftaran perniagaan, pemaparan papan tanda perniagaan yang sah serta keperluan mencetak nombor pendaftaran syarikat pada resit jualan.

"Resit pembelian barangan hendaklah mengandungi nombor pendaftaran perniagaan.

"Kegagalan mematuhi perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan SSM,” katanya.

Jelasnya, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa termasuk menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi pemeriksaan terhadap premis yang disyaki atau dipercayai dikendalikan warga asing.

"KPDN Selangor kekal konsisten dan komited mempertingkatkan keberadaan penguat kuasa di peringkat peruncitan.

"Ini bagi memastikan kepentingan pengguna sebagai pengguna akhir terus terpelihara," katanya.

Ringkasan AI

  • Pekerja warga Bangladesh mengaku tidak tahu gula adalah barang kawalan dijual pada harga RM3 sekilogram Operasi Sinergi dilakukan oleh KPDN Selangor dan SSM menemukan barangan lain dijual tanpa tanda harga Operasi bertujuan memastikan pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain Hasil pemeriksaan mendapati lapan kes pelanggaran akta KPDN dan lima kes ketidakpatuhan akta SSM Operasi sinergi melibatkan 21 anggota penguat kuasa, fokus pada premis yang disyaki dimiliki atau dikendalikan warga asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!