Kos bilik darjah meningkat, dianggar RM280,000 hingga RM520,000 - Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, iaitu bertambah sekali ganda berbanding lima tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi tempoh 2016 hingga 2020, kos pembangunan tersebut dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.
Ujar beliau, peningkatan itu berdasarkan analisis dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh 10 tahun lalu.
“Anggaran itu hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
“Nilai anggaran di atas masih belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah, pembangunan infrastruktur lengkap, pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan.
“Selain itu, kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan turut perlu diambil kira dalam pengiraan kos keseluruhan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Rafizi Ramli (PH–Pandan) yang meminta perincian metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, bandar atau luar bandar serta negeri bagi setiap tahun dari 2015 hingga 2025.
Menurut Fadhlina, peningkatan kos projek bergantung kepada faktor logistik, keadaan kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perolehan perabot serta kelengkapan.
“Justeru, di beberapa kawasan akan berlaku peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan oleh JKR.
“Bagi tempoh pelaksanaan projek sekolah, fasa prabina dari kelulusan hingga keluarnya Surat Setuju Terima (SST) bergantung kepada kaedah pelaksanaan dan keperluan pelaksanaan pengurusan nilai berdasarkan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bil. 1/2024,” ujarnya.
Kata Fadhlina, bagi fasa pembinaan pula, tempoh siap projek adalah tertakluk kepada Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.
“Sebagai contoh, untuk kos projek yang melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan projek yang ditetapkan adalah 36 bulan.
“Walau bagaimanapun, tempoh ini adalah bersifat dinamik, iaitu tempoh ini boleh berubah berdasarkan kekangan sedia ada di tapak bina.
“Seterusnya, apabila projek siap, sekolah akan mula beroperasi setelah perabot dan peralatan disediakan serta urusan pentadbiran diselesaikan,” kata beliau.
Ringkasan AI
- Kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah menunjukkan peningkatan sekali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini
- Bagi tempoh 2016 hingga 2020, kos pembangunan bilik darjah dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000 untuk tempoh 2021 hingga 2026
- Peningkatan kos berdasarkan analisis dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk 10 tahun lalu
- Kos anggaran hanya meliputi blok bangunan seperti bilik darjah, tangga, koridor dan tandas, belum termasuk komponen pembinaan sekolah baharu lain seperti kerja-kerja awalan, infrastruktur, dan pembayaran fi profesional
- Faktor peningkatan kos melibatkan logistik, kondisi tanah, infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada pihak berkuasa tempatan, serta perolehan perabot dan kelengkapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

