Tuntutan palsu PERKESO: Kebocoran dana yang tidak boleh didiamkan

PEMBONGKARAN sindiket tuntutan palsu melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi ‘Ops Stroke’ bukan sekadar pendedahan kes penipuan, sebaliknya satu amaran serius terhadap kebocoran dana perlindungan sosial negara.
Walaupun jumlah faedah palsu yang sempat dibayar dianggarkan RM220,000, nilai kerugian yang berjaya disekat mencecah RM3.78 juta.
Dalam operasi itu, seramai enam individu telah diberkas, melibatkan Orang Berinsurans (OB) dan dalang utama yang disyaki bersekongkol memalsukan dokumen bagi tujuan tuntutan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Keadaan ini menunjukkan bahawa kegiatan tersebut bukan berskala kecil, malah terancang dan berpotensi merugikan dana pencarum jika tidak dibendung lebih awal.
Lebih membimbangkan, siasatan mendapati wujud pakatan antara ejen dan pencarum yang sanggup memalsukan dakwaan penyakit serius seperti strok semata-mata untuk meraih keuntungan.
Perbuatan ini sekali gus mencemarkan tujuan asal sistem keselamatan sosial yang diwujudkan bagi melindungi pekerja yang benar-benar memerlukan.
Tindakan tegas PERKESO bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan bahawa pengawasan dalaman dan risikan berterusan amat penting bagi mengekang manipulasi sistem, khususnya apabila melibatkan dana awam.
Namun, isu ini juga menimbulkan persoalan lebih besar mengenai peranan ejen dan tahap kesedaran pencarum terhadap risiko serta implikasi undang-undang sekiranya terlibat dalam tuntutan palsu.
Amaran keras yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO agar pencarum tidak menggunakan pihak ketiga wajar dipandang serius, kerana kebocoran dana hari ini boleh menjejaskan kebajikan pencarum tulen pada masa hadapan.
Kes ini seharusnya menjadi peringatan bahawa perlindungan sosial bukan ruang untuk dieksploitasi, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara bersama demi kelangsungan sistem dan keadilan kepada semua pencarum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
