Rakyat Malaysia pulang dari luar negara perlu dikuarantin di pusat khas

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto Sumber Internet
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto Sumber Internet
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara perlu dikuarantinkan selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan berkuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak penularan wabak koranavirus (Covid-19) melibatkan kes import di negara ini.

"Mesyuarat telah membuat ketetapan dan bersetuju bahawa setiap rakyat kita yang pulang dari luar negara akan dikuarantinkan selama 14 hari di tempat-tempat yang dikhaskan kerajaan.

"Sesampai sahaja mereka di lapangan terbang, mereka akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat-pusat kuarantin yang disediakan.

"Sewaktu berada di pusat kuarantin, mereka akan disaring oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat status kesihatan mereka dan dalam masa yang sama juga prosedur operasi standard (SOP) yang lain yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM perlu dipatuhi semua rakyat kita yang berada di pusat-pusat kuarantin tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu terpaksa diambil berikutan trend kes positif pandemik melibatkan kes import di negara-negara lain termasuk China meningkat ketika ini.

"Jadi saya menasihatkan kepada keluarga supaya tidak perlu pergi ke lapangan terbang untuk menyambut ahli keluarga mereka yang baru pulang dari luar negara kerana mereka akan terus dibawa ke pusat kuarantin sebaik tiba di lapangan terbang," katanya.

Menurutnya, meskipun terpaksa berpisah selama 14 hari, namun ahli keluarga tetap boleh berhubung antara satu sama lain melalui telefon.

"Seperti yang kita tahu di zaman moden ini, ibu bapa dan keluarga masih boleh menghubungi mereka melalui panggilan telefon dan sebagainya," katanya.
Artikel Berkaitan: