Pasaran teh sedia diminum di Malaysia dijangka berkembang AS$67.8 juta

ICBS kembali untuk edisi kelima dari 7 hingga 9 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
ICBS kembali untuk edisi kelima dari 7 hingga 9 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
A
A
A

PERTUMBUHAN pesat pasaran teh sedia diminum (RTD) di Malaysia, diunjurkan meningkat sebanyak AS$ 67.8 juta dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 6.4 peratus dari 2025 hingga 2030.

Ia didorong oleh peningkatan permintaan pengguna terhadap pilihan minuman yang lebih sihat dan berfungsi, selain budaya teh Malaysia yang pelbagai, merangkumi adunan tradisional dan moden.

Bagi memperkukuh kredibiliti antarabangsa serta memberikan kedalaman kepada segmen baharu ini, International Café and Beverage Show (ICBS) 2026 menjalin kerjasama dengan HJC Global Tea Fair, penganjur pameran teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Shenzhen, China.

Pengarah Projek Montgomery Asia, Alun Jones berkata, dengan peningkatan ketara keusahawanan kafe, kemunculan pasaran teh sedia diminum Malaysia menjadi segmen pertumbuhan utama dan menjadi antara penambahan paling menarik dalam evolusi pameran tersebut, sejajar dengan perkembangan pasaran minuman yang kepelbagaian dan dinamik.

Menurutnya, ICBS 2026 hadir tepat pada waktunya bagi perniagaan yang bersedia untuk berkembang, melancarkan penawaran baharu atau mengukuhkan kehadiran serantau.

"Walaupun kopi kekal sebagai teras utama ICBS, kami melihat momentum luar biasa dalam segmen teh sedia diminum, infusi herba dan produk teh istimewa di seluruh rantau ini.

"Kerjasama dengan HJC Global Tea Fair membolehkan kami membawa kepakaran teh bertaraf dunia serta pembekal terkemuka secara langsung kepada pembeli Asia Tenggara yang sedang aktif membina portfolio minuman mereka.

"Bagi pembekal teh, pengeluar peralatan dan pengedar, inilah masa yang tepat untuk mengukuhkan kehadiran dalam pasaran yang sedang berkembang dengan pantas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ICBS kembali untuk edisi kelima dari 7 hingga 9 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menawarkan platform yang terbukti berkesan bagi jenama dan pembekal untuk merebut peluang dalam pasaran minuman yang berkembang pesat di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Dianjurkan oleh Montgomery Asia bersama Rakan Pendidikan Barista Guild Asia, Rakan Mixologi Eciatto dan, Rakan Strategik Teh HJC Global Tea Fair, impak komersial ICBS telah dibuktikan secara konsisten melalui edisi-edisi terdahulu di mana lebih 2,000 pemilik kafe dan 900 barista menghadiri ICBS 2025 pada April tahun lalu.

Para pempamer melaporkan bahawa 50 peratus daripada mereka berjaya menutup pesanan jualan di lokasi, manakala 91 peratus memperoleh prospek perniagaan berkualiti, menjadikannya satu pencapaian yang mengukuhkan keberkesanan ICBS sebagai platform komersial.

Edisi 2025 turut menyaksikan lebih 60 peratus pempamer mengesahkan penyertaan mereka untuk 2026, satu petunjuk jelas terhadap keyakinan industri terhadap keupayaan platform tersebut untuk menjana hasil perniagaan yang nyata.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Antarabangsa HJC Global Tea Fair, Kate Ba berkata, bersama Montgomery Asia, HJC akan menyediakan sebuah astaka khas yang menampilkan antara syarikat dan pembekal teh terkemuka dari China, seterusnya menghubungkan warisan teh China yang kaya dengan permintaan pasaran Asia Tenggara yang semakin berkembang.

"Kami amat berbesar hati untuk meneroka pasaran ASEAN. Kami melihat Malaysia sebagai pilihan utama bagi para pempamer kami, dengan permintaan terhadap teh yang semakin meningkat dan telah didokumentasikan dengan baik.

"Kami juga percaya bahawa ICBS, dengan tumpuannya yang kukuh terhadap sektor minuman, merupakan platform yang paling sesuai untuk inisiatif baharu yang mengujakan ini,"katanya.

-END-

Ringkasan AI

  • Pertumbuhan pesat pasaran teh sedia diminum di Malaysia, diunjurkan meningkat sebanyak USD 67.8 juta dengan CAGR sekitar 6.4% dari 2025 hingga 2030
  • Peningkatan permintaan pengguna terhadap minuman yang lebih sihat mendorong pertumbuhan ini
  • International Café and Beverage Show 2026 menjalin kerjasama dengan HJC Global Tea Fair untuk memperkukuh kredibiliti segmen teh
  • ICBS 2026 adalah platform untuk perniagaan berkembang, melancarkan penawaran baru, atau mengukuhkan kehadiran serantau
  • Edisi 2025 ICBS menyaksikan lebih 60% pempamer mengesahkan penyertaan mereka untuk 2026, menunjukkan keyakinan industri terhadap platform ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!