Malaysia raih aliran masuk dana asing RM577 juta minggu lepas

Malaysia muncul antara tiga pasaran Asia yang menyaksikan minat pelabur asing.Gambar hiasan
Malaysia muncul antara tiga pasaran Asia yang menyaksikan minat pelabur asing.Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA muncul antara tiga pasaran Asia yang menyaksikan minat pelabur asing dengan mencatat aliran masuk bersih RM577.1 juta, sekali gus menyanggah aliran keluar pada minggu sebelumnya.

Laporan Aliran Dana MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) bagi minggu berakhir 3 Oktober 2025 menunjukkan pelabur asing menjadi pembeli bersih dalam tiga daripada lima hari dagangan dan Khamis mencatat aliran masuk bersih harian tertinggi sebanyak RM503.9 juta yang juga tertinggi sejak 25 Mei lepas.

Angka seterusnya pada Rabu (RM154.0 juta) dan Isnin (RM52.8 juta), manakala aliran keluar tertinggi berlaku pada Jumaat (RM80.5 juta) dan Selasa (RM53.0 juta).

Sektor pula menyaksikan teknologi, penjagaan kesihatan dan pembinaan menerajui aliran masuk dana asing ini dengan masing-masing berjumlah RM339.7 juta, RM313.6 juta dan RM313.6 juta.

Institusi tempatan menjadi penjual bersih selepas menyumbang kepada aliran masuk pada minggu sebelumnya dengan aliran keluar bersih sebanyak RM304.7 juta manakala peruncit tempatan meneruskan jualan bersih selama empat minggu yang bernilai RM272.4 juta.

Selain itu, MBSB IB berkata, purata jumlah dagangan harian menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lepas dengan pelabur runcit tempatan dan institusi tempatan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 10.1 peratus dan 5.6 peratus manakala pelabur asing meningkat 12.2 peratus.

Selain Malaysia, hanya Korea Selatan dan Taiwan mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing ketika kebanyakan negara serantau menyaksikan aliran keluar dana dengan India mencatat angka tertinggi.

Laporan itu berkata, Korea Selatan menyaksikan semula aktiviti pembelian bersih selepas aliran keluar bersih dalam minggu sebelumnya -- mencatat aliran masuk bersih terbesar di rantau ini sebanyak AS$3.18 bilion.

Keadaan itu disokong oleh lonjakan eksport negara itu pada kadar terpantas dalam tempoh 14 bulan yang mengatasi jangkaan, susulan ledakan global membabitkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mendorong permintaan tinggi terhadap cip.

Artikel Berkaitan:

Menurut bank pelaburan itu, eksport negara berkenaan berjumlah AS$65.9 bilion pada September 2025 atau menokok 12.7 peratus tahun ke tahun yang juga nilai bulanan tertinggi.

Taiwan mencatat belian bersih pada minggu lepas selepas aliran keluar minggu sebelumnya dengan jumlah aliran masuk bersih asing AS$2.21 bilion, walaupun terdapat penurunan dalam aktiviti pembuatan berikutan tanda-tanda kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat, jangkaan kesan tarif dikenakan oleh Presiden Donald Trump serta diasak tekanan kelemahan permintaan China.

India mencatat kerugian bagi minggu kedua berturut-turut serta angka aliran keluar bersih terbesar di rantau ini sebanyak AS$1.15 bilion pada minggu lepas selepas bank pusatnya, Reserve Bank of India (RBI) mengekalkan kadar dasar pada Rabu.

MBSB IB berkata, RBI turut memberi isyarat wujudnya ruang penurunan kadar faedah pada Disember 2025 dan akan menilai impak pemotongan cukai domestik dan tarif AS yang disifatkan sebagai memberi impak terhadap ekonomi negara itu. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia muncul antara tiga pasaran Asia yang menyaksikan minat pelabur asing
  • Pelabur asing menjadi pembeli bersih dalam tiga daripada lima hari dagangan
  • Sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan pembinaan menerajui aliran masuk dana asing
  • Institusi tempatan menjadi penjual bersih manakala peruncit tempatan meneruskan jualan bersih
  • Korea Selatan dan Taiwan juga mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!