[VIDEO] Lengah kemasukan murid Tahun Satu usia enam tahun rugikan generasi muda – PM
KUALA LUMPUR - Tindakan melengahkan pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun akan merugikan generasi muda negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan 137 negara atau lebih 71 peratus negara di dunia sudah melaksanakan dasar tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya Malaysia belum cukup bersedia.
"Banyak negara sudah buat dan ada persiapan daripada Kementerian Pendidikan. Memang benar, saya tidak nafikan di peringkat awal, kementerian cadangkan untuk tangguh setahun lagi.
"Saya fikir agak berbeza. Saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak rugi setahun dan anak-anak generasi sekarang tiak seperti dulu (kerana) umumnya jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka.
"Jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama. Memang kita rasa tak boleh, tetapi anak-anak kita jauh lebih pintar. Yang penting, beri pendedahan kepada mereka," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai kesediaan sistem pendidikan negara untuk menerima murid usia enam tahun memasuki tahun satu.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM800 juta dan kemungkinan mencecah sehingga RM1 bilion bagi memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan.
"Apakah harus kita tangguh? Saya tidak setuju kita tangguh. Guru-guru ada dan tadi saya baca angka keperluan guru-guru yang mula diambil sekarang untuk memenuhi keperluan di sekolah, terutama di tahap itu.
"Apakah ia akan memenuhi keperluan sekolah yang sesak? Sekolah sekarang pun ada yang sesak, terutama sekolah bandar. Jadi saya tidak dapat nak jamin semua kelas satu sesi.
"Harus kita tangani sekarang kerana saya anggap kalau melengahkan, ia akan merugikan negara.
"Jadi saya tidak anggap ini satu keputusan yang akan merugikan, malah wajar diberi pertimbangan dan disokong semua pihak," ujarnya.
Ringkasan AI
- Tindakan melengahkan pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun akan merugikan generasi muda Perdana Menteri menyatakan kebimbangan kerana 137 negara sudah melaksanakan dasar tersebut Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM800 juta hingga RM1 bilion bagi pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun Penangguhan dianggap merugikan dan wajar diberi pertimbangan serta disokong semua pihak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


