Doktor sanggup buat pinjaman bank, rugi RM285,000 selepas terpedaya panggilan scammer

KUANTAN – Seorang doktor terpaksa membuat pinjaman bank selepas diarahkan berbuat demikian kononnya bagi tujuan siasatan institusi kewangan, selepas didakwa terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram dan aktiviti penipuan digital.
Doktor lelaki berusia 31 tahun yang bertugas di sebuah hospital di negeri ini akur dengan arahan tersebut sebelum terjerat perangkap sindiket ‘phone scam’, menyebabkan kerugian berjumlah RM285,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah membuat 12 transaksi pemindahan wang hasil pinjaman dan simpanan ke tujuh akaun bank selepas diarahkan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
Menurutnya, mangsa juga diarahkan membeli 35 resit tambah nilai kredit permainan video dan menyerahkan nombor PIN kononnya bagi tujuan siasatan.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan serta gagal menghubungi suspek untuk menuntut kembali wang yang telah diserahkan,” katanya.
Jelas Yahaya, kejadian malang yang menimpa mangsa bermula pada 31 Disember tahun lalu selepas menerima panggilan telefon daripada beberapa individu yang menyamar sebagai wakil syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, panggilan seterusnya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya untuk siasatan lanjut selepas mangsa didakwa terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram dan aktiviti penipuan digital.
“Susulan itu, mangsa diarahkan untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian bagi tujuan pemantauan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pinjaman bank kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank,” katanya.
Yahaya berkata, mangsa akur berbuat demikian berkemungkinan kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank lain.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi utiliti dan kewangan.
“Sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan pihak polis atau agensi berkaitan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki telah ditipu,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang doktor di Kuantan terjerat perangkap sindiket 'phone scam' menyebabkan kerugian RM285,000
- Doktor itu membuat 12 transaksi pindahan wang dan membeli 35 resit tambah nilai kredit permainan video atas arahan penipu
- Penipuan bermula selepas doktor menerima panggilan menyamar sebagai wakil TNB dan kemudian kononnya pegawai polis untuk siasatan
- Mangsa diarah membuat pinjaman bank dan melakukan pemindahan wang ke beberapa akaun atas alasan siasatan
- Ketua Polis Pahang menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik dan menyemak sebarang panggilan mencurigakan dengan pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

