Buang sampah: Hukuman khidmat masyarakat tanpa mengira warganegara

ALOR SETAR - Pindaan ke atas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan hukuman khidmat masyarakat kepada mereka membuang sampah di tempat awam tidak mengenal latar belakang, sama ada warganegara tempatan atau warga asing.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, sebanyak 494 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di seluruh negara, membabitkan 377 warganegara tempatan dan 117 warga asing setakat Ahad.
Menurutnya, statistik ini membuktikan pendekatan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh, konsisten dan memberi fokus kepada pembentukan disiplin masyarakat dalam menjaga kebersihan
“Ia hanyalah kebetulan jika ada antara yang dihukum merupakan warga asing kerana tindakan ini berdasarkan kesalahan yang direkodkan. Kami tidak melepaskan sesiapa pun,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti prosiding di bawah akta yang dipinda itu di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini.
Pada prosiding tersebut, seorang lelaki Indonesia berusia 39 tahun, Jufri Zulkifli, didenda RM300 dan diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen kerana membuang puntung rokok di tempat awam.
Pada Jumaat lepas, seorang lagi warga Indonesia, Anita Lukman, 49, menjadi individu pertama di Malaysia yang dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat kerana membuang sampah di tempat awam.
Di bawah pindaan akta tersebut, pesalah buat kali pertama kini berdepan denda sehingga RM2,000 dan boleh diarahkan menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam.
Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, Kedah merekodkan 120 NPK, membabitkan 103 warganegara tempatan dan 17 warga asing setakat Ahad.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 57 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dengan 37 kes memperoleh izin pendakwaan.
"Dua kes dijadualkan sebutan di mahkamah pada 12 dan 16 Februari ini, " ujarnya.
Beliau menambah, SWCorp turut melaksanakan operasi menyeluruh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dengan 27 NPK dikeluarkan kepada individu yang ditangkap melakukan pelanggaran kebersihan.
“SWCorp akan terus mempergiatkan penguatkuasaan secara konsisten dan berterusan di seluruh negara tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang kebersihan,” tegas beliau.
Ringkasan AI
- Pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 memperuntukkan hukuman khidmat masyarakat tanpa mengira warganegara
- Sebanyak 494 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan membabitkan 377 warganegara tempatan dan 117 warga asing
- Pesalah membuang sampah boleh didenda sehingga RM2,000 dan diarah menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam
- Kedah merekodkan 120 Notis Pemberitahuan Kesalahan, dengan 57 kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya
- SWCorp bertekad mempergiat penguatkuasaan undang-undang kebersihan secara konsisten di seluruh negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

