Penggodam Iran lancar serangan siber besar-besaran ke atas syarikat Israel

Serangan tersebut berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Teheran dan Tel Aviv.- Agensi
Serangan tersebut berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Teheran dan Tel Aviv.- Agensi
A
A
A

TEL AVIV – Beberapa syarikat dan institusi utama Israel menjadi sasaran serangan siber besar-besaran yang didakwa dilakukan kumpulan penggodam dari Iran, menurut kenyataan Direktorat Siber Negara Israel pada Rabu.

Serangan itu menyasarkan syarikat penyedia perkhidmatan digital dan teknologi maklumat yang menjadi tulang belakang kepada banyak firma di negara berkenaan, dalam strategi dikenali sebagai serangan rantaian bekalan.

Berdasarkan laporan media tempatan, lebih 10 syarikat swasta di Israel telah menjadi mangsa serangan siber. Dalam serangan itu, penggodam menggunakan maklumat log masuk (seperti nama pengguna dan kata laluan) yang telah dicuri atau telah bocor di internet untuk menceroboh sistem komputer syarikat-syarikat tersebut.

“Kami mengenal pasti bahawa pelaku menggunakan data akses yang dicuri, termasuk nama pengguna dan kata laluan, untuk menceroboh sistem,” kata jurucakap Direktorat itu.

Pihak berkuasa memaklumkan kebanyakan pencerobohan berjaya disekat sebelum menjejaskan operasi syarikat, namun beberapa kes dilaporkan menyebabkan kebocoran maklumat sulit.

Antara sasaran utama ialah Pusat Perubatan Shamir (Assaf Harofeh) yang diserang ketika sambutan Yom Kippur baru-baru ini. Walaupun penggodam berjaya mencuri sebahagian data, sistem keselamatan pusat itu bertindak pantas mengekang pencerobohan bagi mengelak gangguan terhadap operasi hospital.

Serangan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Teheran dan Tel Aviv, dengan Iran sebelum ini secara terbuka berikrar akan menggunakan kekuatan siber sebagai salah satu medan 'perlawanan moden' menentang rejim Zionis. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Beberapa syarikat dan institusi utama Israel diserang siber oleh kumpulan penggodam dari Iran
  • Serangan itu menyasar syarikat penyedia perkhidmatan digital dan teknologi maklumat di Israel
  • Lebih 10 syarikat swasta di Israel menjadi mangsa dengan penggodam menggunakan maklumat log masuk yang dicuri
  • Kebanyakan pencerobohan disekat sebelum menjejaskan operasi syarikat, tetapi beberapa kes menyebabkan kebocoran maklumat sulit
  • Pusat Perubatan Shamir di Israel merupakan antara sasaran utama, sistem keselamatan bertindak pantas mengelak gangguan operasi hospital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!