Pearly-Thinaah, Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke final Indonesia Masters

BEREGU wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah dan pasangan profesional beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani semakin hampir untuk menjuarai gelaran pertama musim ini selepas kedua-dua pasangan mara ke final Masters Indonesia 2026 di Jakarta, esok.
Dalam aksi separuh akhir hari ini di gelanggang ikonik Istora Senayan, Pearly-Thinaah menepati ramalan apabila menumpaskan pasangan tuan rumah Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu dalam masa 32 minit dengan keputusan 21-15, 21-9.
Beregu wanita nombor dua dunia itu bakal berdepan cabaran Arisa Igarashi-Miyu Takahashi dari Jepun yang mengejutkan pasangan tuan rumah Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dalam aksi tiga set, 21-12, 19-21, 21-13, selepas hampir sejam perlawanan sengit.
Sekiranya Pearly-Thinaah menewaskan Arisa-Miyu esok, mereka berpeluang menjadi pasangan beregu wanita Malaysia pertama memenangi gelaran ini sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei meraih kejayaan pada edisi 2011.
Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak mengecewakan apabila melangkah ke final selepas menundukkan pasangan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-9, 21-15 dalam tempoh hanya 28 minit.
Pasangan pilihan keempat itu akan berdepan duo Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang mengejutkan pilihan kelima dan rakan senegara mereka, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 21-19, 21-14.
Ini merupakan final pertama Sze Fei-Nur Izzuddin sejak tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 16-21, 17-21 di Terbuka Jepun 2025 Julai lalu.
Kedua-dua Pearly-Thinaah dan Sze Fei-Nur Izzuddin akan menyertai juara dunia beregu campuran semasa, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dalam final kejohanan Super 500 esok.
Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei menyingkirkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-17, 21-12.
Mereka akan menentang pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, bukan pilihan tetapi berjaya menewaskan pasangan pilihan keenam dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, 20-22, 21-19, 21-17. - Bernama
Ringkasan AI
- Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke final Masters Indonesia 2026
- Pearly-Thinaah mengalahkan pasangan tuan rumah Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu dalam masa 32 minit
- Pearly-Thinaah berpeluang menjadi pasangan beregu wanita Malaysia pertama memenangi gelaran ini sejak 2011
- Sze Fei-Nur Izzuddin menang lawan pasangan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, dalam 28 minit
- Pasangan pilihan keempat, Sze Fei-Nur Izzuddin, akan berdepan dengan Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dari Indonesia di final
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
