Terbuka India: Aaron-Wooi Yik mara tanpa bertarung penuh

Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India Super 750.
Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India Super 750.
A
A
A

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka India Super 750 2026 selepas pasangan senegara, Kang Khai Xing–Aaron Tai menarik diri akibat kecederaan pada perlawanan pusingan pertama di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi di sini, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung selama 21 minit itu menyaksikan Aaron–Wooi Yik mendahului 21-12, 11-6 sebelum Khai Xing–Aaron Tai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi.

Menurut kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikongsi kepada media Malaysia, Aaron Tai mengalami kecederaan belakang yang memaksanya menarik diri.

Pada pusingan kedua, Aaron–Wooi Yik dijadual menentang pasangan Jepun, Takumi Nomura–Yuichi Shimogami yang menewaskan satu lagi wakil negara, Arif Junaidi–Yap Roy King dalam perlawanan sengit 26-28, 21-18, 22-20.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Chia Weijie–Lwi Sheng Hao tersingkir selepas tewas 18-21, 15-21 kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita.

Dalam perkembangan lain, pasangan negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu–Goh V Shem 19-21, 21-16, 21-10.

Mereka akan bertemu sama ada pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy atau wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei–Yang Po-Hsuan pada pusingan kedua.

Dalam saingan beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah meneruskan prestasi cemerlang Malaysia apabila menewaskan pasangan India, Kavipriya Selvam–Simran Singhi 21-18, 21-6 dan dijadual menentang gandingan Perancis, Margot Lambert–Camille Pognante.

Bagaimanapun, satu lagi wakil negara, Ong Xin Yee–Carmen Ting tersingkir selepas tewas 17-21, 15-21 kepada pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan–Hung En-Tzu. — Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India Super 750 2026 selepas pasangan Kang Khai Xing-Aaron Tai menarik diri
  • Pasangan Aaron Tai-Kang Khai Xing menarik diri akibat kecederaan belakang Aaron Tai
  • Pasangan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami, akan menjadi lawan Aaron-Wooi Yik pada pusingan kedua
  • Beregu lelaki negara, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao, tersingkir setelah kalah kepada pasangan Jepun
  • Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, menewaskan pasangan India dan akan bertemu gandingan Perancis pada pusingan seterusnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!