Laluan baharu uji ketahanan atlet IRONMAN Malaysia di Langkawi

LALUAN perlumbaan yang lebih mencabar bakal menguji ketahanan fizikal dan mental 1,900 atlet dari 65 negara pada IRONMAN Malaysia di Langkawi, 19 hingga 22 November ini.
Antara tarikan utama edisi kali ini ialah laluan berbasikal baharu dengan pendakian terkumpul setinggi 1,761 meter (m) bagi kategori jarak penuh dan 969m untuk IRONMAN 70.3 Langkawi.
Selain menguji kemampuan atlet, perubahan laluan itu turut memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi Langkawi sepanjang perlumbaan.
Pengarah Perlumbaan IRONMAN Malaysia, Fauzy Famir berkata, pembaharuan laluan berkenaan dilakukan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peserta, selain mengetengahkan keunikan destinasi pelancongan itu.
"Pembaharuan ini diharap dapat memberikan pengalaman perlumbaan yang berbeza kepada atlet, di samping menyerlahkan keindahan semula jadi pulau ini," katanya.
Laluan renang baharu bermula di Pantai Tengah berhampiran Holiday Villa Resort & Beachclub Langkawi, manakala laluan berbasikal merentasi Teluk Baru dan Jalan Bukit Malut.
Bagi kategori IRONMAN Malaysia, peserta perlu menyelesaikan renangan sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km dalam tempoh maksimum 17 jam.
Sementara itu, IRONMAN 70.3 Langkawi memerlukan peserta mengharungi renangan 1.9km, berbasikal 90km serta larian 21.1km.
Kedua-dua acara utama itu dijadual berlangsung pada 21 November, manakala IRONKIDS Langkawi yang dijangka menarik penyertaan 450 peserta diadakan sehari lebih awal.
Malaysia muncul negara dengan penyertaan atlet tertinggi tahun ini, diikuti Jepun, Singapura, United Kingdom dan Indonesia.
Pengarah Serantau IRONMAN Asia, CG Lim berkata, penyertaan atlet dari 65 negara mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pilihan dalam kalendar sukan ketahanan antarabangsa.
"Kehadiran 1,900 atlet dari 65 negara membuktikan Langkawi terus menjadi pilihan dalam kalendar IRONMAN dunia.
"Sejak bertahun-tahun lalu, acara ini bukan sekadar pertandingan sukan bertaraf antarabangsa, malah menjadi platform yang menghimpunkan atlet, masyarakat setempat dan pengunjung dari seluruh dunia," katanya.
Penganjuran kali ini turut menyediakan 50 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia IRONMAN 2027 di Kailua-Kona, Hawaii.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
