Sepasang kekasih dicekup ketika sedang bermadu kasih ingkar PKP

 Hanyan Ramlan
Hanyan Ramlan
A
A
A

KEMAMAN - Sepasang kekasih yang sedang memadu kasih ditahan di kawasan Pantai Kuala Kemaman di sini kelmarin selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pasangan yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa khas koronavirus (Covid-19) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, dalam rondaan di sekitar kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semasa tiba di lokasi berkenaan, didapati pasangan itu berada di atas sebuah motosikal dan sejurus menyedari kehadiran anggota, mereka cuba melarikan diri namun gagal.

"Semasa ditanya, mereka gagal mengemukakan alasan munasabah berada di lokasi meskipun masing-masing mengakui tahu mengenai larangan berada di luar sepanjang tempoh PKP.

"Seterusnya pasangan itu ditahan untuk disiasat mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Selain itu, Hanyan berkata, pada hari sama juga, lapan lelaki berusia antara 20 hingga 42 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan alasan munasabah.

"Mereka ditahan di kawasan Pantai Penunjuk Kijal, di simpang empat lampu isyarat Jalan Kemasik-Kuala Terengganu, di kawasan Geliga dan Pantai Teluk Mak Nik, di sini," katanya.

Artikel Berkaitan: