Pasangan kekasih dicekup berkelakuan jelik dalam kereta

 Polis menahan sepasang kekasih kerana berkelakuan tidak senonoh dan melanggar kesopanan di tempat awam di kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar di sini. - Gambar hiasan
Polis menahan sepasang kekasih kerana berkelakuan tidak senonoh dan melanggar kesopanan di tempat awam di kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar di sini. - Gambar hiasan
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menahan sepasang kekasih kerana berkelakuan tidak senonoh dan melanggar kesopanan di tempat awam di kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 42 saat yang tular itu menerusi sebuah akaun Facebook dalam kumpulan Komuniti Scientex Pasir Gudang.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi, 21 Mei lalu di tempat letak kenderaan tersebut.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis melakukan tangkapan antara jam 11 sehingga 11.45 malam Selasa di Tanjung Puteri Resort dan Taman Rinting di sini.

"Pelaku merupakan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan wanita tersebut yang juga warga tempatan berusia 19 tahun.

"Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan lampau. Sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih turut dirampas," dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 337D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun.

"Kedua-dua suspek sedang direman selama empat hari mulai Rabu sehingga Sabtu ini," katanya.