Jangan nilai keselamatan negara berdasarkan kes terpencil - PM

Anwar ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya pada Sabtu.
Anwar ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kes terpencil tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur untuk menilai keseluruhan pasukan keselamatan negara sebaliknya pengorbanan besar ratusan ribu anggota tentera dan polis yang bertugas mempertahankan kedaulatan negara perlu terus dihargai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mahu insiden terpencil yang berlaku dijadikan gambaran keseluruhan terhadap kredibiliti dan integriti angkatan bersenjata negara.

“Ini juga kita nak jelaskan kerana saya tidak mahu satu dua kes tertentu itu mewakili seluruh angkatan bersenjata,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, keamanan yang dikecapi Malaysia hari ini menjadi asas utama kepada pencapaian ekonomi negara yang amat memberangsangkan termasuk pengukuhan nilai Ringgit yang mencatat prestasi terbaik di Asia, pelaburan tertinggi dalam sejarah serta nilai perdagangan negara yang mencecah RM3 trilion.

“Negara ini aman, negara ini dapat catat kejayaan ekonomi yang sangat membanggakan, alhamdulillah.

"Semua ini berkat negara ini aman,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, kestabilan negara tidak datang dengan mudah sebaliknya hasil pengorbanan besar anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan darat, perairan, hutan dan kawasan pedalaman.

"Mereka ini ada kalanya berbulan-bulan meninggalkan keluarga demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

“Negara ini aman kerana pengorbanan rakan-rakan kita, polis dan tentera di perbatasan, di lautan, berbulan-bulan berkorban meninggalkan keluarga untuk mempertahankan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan dan tidak menumpukan perhatian secara berlebihan terhadap kes terpencil sehingga menjejaskan imej keseluruhan pasukan keselamatan.

“Walaupun fokus kita dalam satu dua kes, jangan lupa pengorbanan ratusan ribu anggota pasukan pertahanan dan polis di sempadan, di lautan, di darat dan di hutan untuk menjaga keamanan ini," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip ‘satu dua nila setitik tidak harus merosakkan susu sebelanga’ perlu dijadikan pegangan dalam menilai pasukan keselamatan negara.

"Kita harus lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan dan terus mempertahankan integriti serta kewibawaan pasukan keselamatan yang membolehkan kita mengangkat martabat dan prestasi ekonomi negara,” katanya lagi.

Terdahulu, pihaknya menahan 23 individu dengan membuka kertas siasatan membabitkan 22 'predicate offense'.

Sebelum ini, 23 individu termasuk pegawai tinggi dan kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan perolehan dan penggunaan dana awam.

Siasatan bermula sejak 7 Oktober dan disifatkan sensitif kerana melibatkan kepentingan awam serta dakwaan menerima rasuah dari syarikat berkaitan perolehan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

SPRM membuka 22 kertas siasatan kesalahan asas serta satu kertas siasatan di bawah Penggubahan Wang Haram (AMLA) dan Seksyen 17A dan 23 Akta SPRM 2009 berkaitan penerimaan suapan dan salah guna kuasa oleh penjawat awam.

 

 

Ringkasan AI

  • Kes terpencil tidak patut dijadikan ukuran prestasi keseluruhan pasukan keselamatan negara
  • Pengorbanan anggota tentera dan polis yang berkorban untuk negara perlu dihargai
  • Keamanan Malaysia menyumbang kepada pencapaian ekonomi negara yang membanggakan
  • Kestabilan negara adalah hasil pengorbanan anggota pasukan keselamatan
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan untuk tidak menumpukan perhatian berlebihan pada kes terpencil yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!