Malaysia masih berunding isu sempadan darat dengan Indonesia - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia masih menjalankan rundingan dengan Indonesia berhubung isu pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya Malaysia telah menyerahkan tanah kepada republik itu.

"Kita kena perjelaskan perkara yang tidak betul. Malaysia dan Indonesia sedang berunding dengan baik dan secara harmoni,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan pemuktamadan pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara pada 18 Februari 2025.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa serta koordinat geospatial yang tepat dan bukannya atas dasar konsesi politik.

Beliau berkata, pemeteraian MoU itu dibuat selepas Malaysia dan Indonesia melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

"Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.

"Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

"Proses rundingan turut membabitkan penglibatan aktif wakil kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan peta sempadan antara Indonesia dan Malaysia mengalami perubahan signifikan susulan penyelesaian OBP yang menyaksikan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini secara rasmi berada di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.

Pada masa sama, Arthur menegaskan laporan media menyatakan 'Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan' adalah tidak tepat.

Beliau berkata, melalui persetujuan kedua-dua negara, satu pengukuran saintifik dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani terdahulu bagi menentukan jajaran sempadan yang jelas.

"Keputusan itu dicapai melalui proses teknikal yang panjang membabitkan pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan" katanya.

Arthur berkata, setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa iaitu Boundary Convention 1891, Boundary Agreement 1915, Boundary Convention 1928 serta koordinat geospatial yang tepat.

"Keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa.

"Pengiktirafan ini lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Indonesia sedang berunding mengenai pengukuran sempadan darat melibatkan tiga kampung di Kalimantan Utara
  • Penegasan bahawa tanah tidak diserahkan kepada Indonesia oleh Malaysia
  • Perundingan berlangsung secara harmoni dan teknikal selama lebih 45 tahun
  • Penyelesaian isu sempadan bermula dengan lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia
  • Pengukuran sempadan dilakukan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan koordinat geospatial yang tepat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!