Chile musnah dijilat api

CONCEPCION - Kebakaran hutan dahsyat yang melanda Chile semakin reda meskipun kepulan asap yang menyesakkan nafas masih menyelubungi banyak kawasan.
Pihak berkuasa turut menahan empat individu dipercayai melakukan arson hingga meragut 21 nyawa dan memusnahkan kawasan seluas lebih 45,000 hektar.
Menteri Keselamatan, Luis Cordero berkata, kebakaran itu bermula di sebuah ladang gandum di Concepcion.

Angin kencang dan cuaca ekstrem telah menyebabkan api merebak dengan cepat di seluruh Biobio dan Nuble yang terletak kira-kira 500 kilometer (km) dari ibu kota Santiago pada Sabtu lalu.
Beberapa bandar pesisir termasuk Penco, Lirquen dan Punta de Parra turut musnah dijilat api.
Menteri Dalam Negeri, Alvaro Elizalde menganggarkan kira-kira 20,000 penduduk berdepan kerugian harta benda yang besar berikutan 800 kediaman binasa sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden Gabriel Boric yang melawat Biobio berkata, jentera berat telah dikerahkan untuk operasi pembersihan memandangkan negara Amerika Selatan itu masih berada di bawah situasi darurat.
"Pembinaan semula akan dilancarkan sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selesai serta bantuan perumahan dan kewangan kecemasan digerakkan. Kita sedang mempercepatkan projek ini, namun ada proses yang perlu dibereskan terlebih dahulu," jelasnya.
Sehingga Khamis, pasukan bomba masih berhempas-pulas mengawal 19 kebakaran di wilayah teruk terjejas di Araucania, Nuble dan Biobio.
Bagi meringankan beban penduduk, pemerintah bakal memberikan pampasan bermula AS$700 (RM2,800) hingga AS$1,500 (RM6,060) untuk setiap individu.

Penghantaran bantuan dikatakan telah mula tiba di kawasan terjejas selepas banyak mangsa mengeluh atas kelewatan sebelum ini.
"Keadaan amat huru-hara dan menyedihkan kerana kami hilang segala-galanya dalam sekelip mata," kata Doralisa Silva, 34.
Menurutnya, sebahagian besar bantuan dihulurkan komuniti setempat kerana pemerintah lambat bertindak.
Susulan kritikan orang ramai meningkat, Jose Antonio Kast yang bakal mengambil alih jawatan Presiden pada 11 Mac depan berikrar untuk memfokuskan usaha pembangunan semula di komuniti terjejas.
Ia disifatkan sebagai kebakaran hutan terburuk sejak tragedi sama di pusat peranginan Vina del Mar, terletak kira-kira 110km dari Santiago yang meragut 138 nyawa pada 2024.
Ringkasan AI
- Kebakaran hutan di Chile reda tetapi asap masih menyelubungi banyak kawasan
- Empat individu ditahan atas tuduhan melakukan arson yang mengakibatkan 21 kematian
- Kebakaran bermula di ladang gandum di Concepcion dan merebak cepat akibat angin kencang
- Sekitar 20,000 penduduk kehilangan harta benda, dengan 800 kediaman musnah sepenuhnya
- Presiden Gabriel Boric umumkan bantuan kewangan untuk mangsa, pembinaan semula akan dilakukan setelah operasi SAR selesai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

