Isu kedaulatan negara tidak boleh dikompromi - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau pameran sempena Program Wacana Belia Diraja 2026 di sini pada Sabtu.
Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau pameran sempena Program Wacana Belia Diraja 2026 di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kedaulatan negara bukan sekadar isu pentadbiran sebaliknya menyentuh amanah besar, integriti, keadilan dan maruah bangsa sebuah negara berdaulat.

Perkara itu ditegaskan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan berhubung beberapa isu termasuk berkaitan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan di negara ini.

Titah Baginda, isu kewarganegaraan satu perkara amat besar dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sekadar dokumen atau pengiktirafan undang-undang sebaliknya ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan tanah air.

"Pemberian taraf kewarganegaraan bukan urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa kerana perkara itu bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa atau tiket mudah untuk bergelar rakyat negara ini.

"Sebaliknya ia lambang kepercayaan tertinggi negara justeru saya mengingatkan pihak bertanggungjawab supaya lebih tegas dalam perkara tersebut," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena perasmian Program Wacana Belia Diraja 2026 di sini pada Sabtu.

Titah Baginda lagi, ketegasan dalam perkara itu bukan kezaliman tetapi benteng kepada kedaulatan negara.

"Nilai sesebuah negara tidak boleh diukur ramainya rakyat tetapi dengan teguhnya jiwa mereka.

"Kedaulatan tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara kerana maruah bangsa dan kedaulatan negara bukan untuk dijual atau digadai," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Dalam titahnya diraja itu, Baginda turut mengingatkan golongan belia di negara ini supaya lebih berprinsip dan tidak mudah diperalatkan dalam usaha memastikan kedaulatan negara terpelihara.

Baginda bertitah, pada era ini kedaulatan negara tidak lagi diuji semata-mata oleh dentuman senjata atau pencerobohan di sempadan tanah air tetapi cabaran sebenar hadir dalam wajah yang lebih senyap termasuk berita palsu dan media sosial yang mudah disalahgunakan untuk mencetuskan kebencian serta memecah-belahkan masyarakat.

Dalam titah diraja itu juga, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh berhubung integriti dan maruah sebagai nilai yang tidak boleh dijual beli.

"Apabila amanah dijual beli demi jawatan; kuasa dibeli dan digunakan untuk melindungi kesalahan; dan undang-undang diputar untuk kepentingan, maka pada saat itu, maruah bangsa menjadi murah dan mudah diperalatkan," titah baginda.

Sementara itu, Baginda turut mengingatkan golongan belia bahawa kesetiaan kepada raja dan negara merupakan asas kestabilan nasional.

"Di bumi beraja ini, institusi raja bukan sekadar simbol tetapi payung perpaduan, penjaga keseimbangan kuasa dan tonggak tradisi yang perlu dipertahankan.

"Dalam sistem kenegaraan negara ini, raja berpelembagaan menjadi benteng kestabilan ketika politik bergolak dan suara penimbang keadilan," titah baginda.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memandang tinggi usaha Majlis Belia Malaysia (MBM) atas penganjuran program yang menghimpungkan kira-kira 500 belia dan anak muda dari seluruh negara khususnya di Pahang.

Turut berangkat ke program itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Exco Komunikasi, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohd Kamal; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol; Presiden Majlis Belia Malaysia, Mojd Izzat Afifi Abd Hamid dan Presiden Majlis Belia Pahang, Saharuddin Ahmad.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!