Empat bulan menanggung rindu, ibu menyusul anak tersayang

KEPALA BATAS - Dugaan berat menimpa seorang suami apabila kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia awal pagi Rabu, hanya empat bulan selepas pemergian anak tunggal mereka.
Anak pasangan berkenaan, Hayder Rizq yang berusia setahun tujuh bulan, meninggal dunia pada Oktober tahun lalu akibat penyakit Dilated Cardiomyopathy.
Selepas beberapa bulan menanggung kerinduan mendalam terhadap anak kesayangan, ibu berkenaan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit bengkak jantung.
Perkara itu dimaklumkan oleh suami arwah dikenali Wan Fawwaz Aiman, 27 menerusi satu perkongsian di TikTok @aizarizq yang mengundang perhatian dan rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebelum pemergiannya, arwah isterinya berkenaan kerap berkongsi luahan kerinduan terhadap arwah anaknya di akaun TikTok miliknya, selain meluahkan perasaan kehilangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Malah, arwah bersama suaminya juga sering menziarahi pusara anak tersayang sebagai cara untuk melepaskan rindu.
Rata-rata warganet menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keutuhan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak yang menyentuh hati.
"Betapa kuatnya ikatan seorang ibu dengan anaknya. Semoga ALLAH SWT mempertemukan mereka kembali di taman syurga," kata seorang pengguna media sosial.
Ucapan takziah turut dizahirkan kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan, dengan orang ramai mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang suami kehilangan isteri empat bulan selepas pemergian anak tunggal mereka
- Anak pasangan itu meninggal akibat penyakit Dilated Cardiomyopathy
- Ibu meninggal dunia akibat penyakit bengkak jantung beberapa bulan selepas kematian anak
- Suami arwah memaklumkan pemergian isteri melalui perkongsian di TikTok
- Warganet menzahirkan rasa sedih dan simpati, mendoakan agar keluarga itu diberikan ketabahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

