'Lebih seminggu ayah masih belum pulang'

Abdul Aziz yang berdepan masalah ingatan hilang sejak 4 Oktober lalu.
Abdul Aziz yang berdepan masalah ingatan hilang sejak 4 Oktober lalu.
A
A
A

KULIM - Keluarga kepada seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu, sejak 4 Oktober lalu, merayu bantuan orang ramai untuk mengesan lelaki berkenaan.

Anak mangsa, Syazwani Abdul Aziz, 30, berkata, usaha mencari bapanya, Abdul Aziz Ali, 67, yang berdepan masalah ingatan dilakukan sejak Ahad lalu, namun sehingga kini masih belum membuahkan hasil.

"Sudah lebih seminggu ayah masih belum pulang, kami semua bimbang keselamatan dirinya.

"Kami pun dah cari kawasan yang ada orang bagi maklumat ternampak, semua dah cari tapi masih tak jumpa, namun kami tetap berharap ayah balik dengan selamat," katanya.

Menurut Syazwani, beberapa maklumat diterima daripada orang ramai yang mendakwa ternampak kelibat bapanya di beberapa lokasi, termasuk berhampiran bank dan kawasan pusat bandar.

Bagaimanapun, pencarian di lokasi yang dimaklumkan itu masih belum menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan warga emas berkenaan.

Katanya, usaha mengesan bapanya turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain yang dipercayai mungkin dikunjungi lelaki itu, termasuk Padang Serai dan Lunas di Kulim, selain Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Mengimbas kejadian, Syazwani berkata, bapanya dipercayai keluar menaiki motosikal jenis skuter Avantis berwarna kuning dan kelabu dengan nombor pendaftaran PPK8571 untuk ke kedai berhampiran.

Katanya, selepas ke kedai itu, bapanya memberitahu penduduk kampung bahawa dia mahu ke Kulim.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, lelaki itu dipercayai pulang ke rumah terlebih dahulu kerana pakaian yang dipakainya pada sebelah pagi didapati ditinggalkan.

Syazwani berkata, tiada ahli keluarga berada di rumah ketika kejadian kerana kakaknya menemani ibu mereka mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Lubuk Buntar, manakala adiknya keluar bekerja.

Katanya, bapanya lazimnya hanya keluar ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat berjemaah.

Satu laporan polis berhubung kehilangan Abdul Aziz telah dibuat di Balai Polis Serdang, Daerah Bandar Baharu, Kedah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Abdul Aziz diminta menghubungi Syazwani menerusi talian 011-26631311 bagi membantu usaha mengesan lelaki berkenaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!