'Ada seorang dua pelanggan pun jadilah'

Jeti Lumut yang menghubungkan ke Pulau Pangkor ditutup kepada orang luar termasuk pelancong berkuat kuasa, 24 Mac lalu selari dengan pematuhan PKP.
Jeti Lumut yang menghubungkan ke Pulau Pangkor ditutup kepada orang luar termasuk pelancong berkuat kuasa, 24 Mac lalu selari dengan pematuhan PKP.
A
A
A

LUMUT - Aktiviti jualan hasil laut di Jeti Lumut tetap diteruskan walaupun kehadiran pelanggan jauh berkurangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan dilakukan mendapati sekurang-kurangnya tujuh premis hasil laut masih membuka operasi perniagaan mereka, sementara sebahagian besar mengambil keputusan menutup kedai.

Peniaga, Mumammad Irfan Danial Zaipulizam, 20, berkata, premisnya tetap dibuka bagi memastikan orang ramai tidak terputus bekalan terutama ikan bilis.

Menurutnya, meskipun kehadiran pelanggan menyusut, masih ada beberapa penduduk tempatan yang datang untuk mendapatkan barangan keperluan mereka di situ.

"Sekarang memang banyak kedai yang tutup, tapi kalau semua tutup, susah pula orang nak beli barang, jadi kita buat keputusan untuk buka sahaja, tak mengapalah kalau pelanggan yang datang itu seorang dua sahaja, sekurang-kurangnya masih ada yang datang membeli," katanya.

Mumammad Irfan Danial memberikan tawaran harga terhadap jualan ikan bilis mata biru bagi memastikan bekalan diperolehi dapat dihabiskan.
Mumammad Irfan Danial memberikan tawaran harga terhadap jualan ikan bilis mata biru bagi memastikan bekalan diperolehi dapat dihabiskan.

Sepanjang tempoh PKP ini, dia memberikan tawaran harga antara RM10 ke RM5 terutama kepada jualan ikan bilis mata biru yang menjadi produk ikon di kawasan itu.

Katanya, bekalan ikan bilis yang diperoleh perlu dihabiskan kerana tidak boleh disimpan terlalu lama dikhuatiri akan rosak.

Artikel Berkaitan:

"Contoh ikan bilis mata biru gred A, biasa sekilo kita jual RM80, boleh tawar ke RM75, ada juga yang RM68 sekilo sekarang kita jual RM58," katanya.

Seorang lagi peniaga, Shahrizan Abdullah, 17, berkata, ada hari-hari tertentu yang langsung tiada pelanggan datang membeli.

Bagaimanapun katanya, mereka tetap meneruskan operasi bagi memastikan kelangsungan jualan hasil laut dari Pulau Pangkor.

"Kawasan ini dah jadi sunyi sepi, nak nampak kelibat seorang pembeli pun susah, harap isu wabak ini dapat selesai cepat dan tempat ini kembali jadi tumpuan," katanya.

Shahrizan tetap meneruskan operasi premis jualan ikan lautnya bagi memastikan penduduk setempat mendapat bekalan diperlukan.
Shahrizan tetap meneruskan operasi premis jualan ikan lautnya bagi memastikan penduduk setempat mendapat bekalan diperlukan.

Terdahulu media melaporkan, Pulau Pangkor ditutup kepada orang luar termasuk pelancong berkuat kuasa 24 Mac lalu selari dengan pematuhan PKP.

Sepanjang tempoh itu, hanya penduduk Pulau Pangkor dan kakitangan kerajaan yang bertugas akan dibenarkan menaiki feri untuk ke pulau bebas cukai tersebut melalui Jeti Lumut.

Operasi di Jeti Marina Island juga sudah ditutup sejak Sabtu lalu.

Dalam pada itu, penduduk Pulau Pangkor menyambut baik langkah sekatan yang dikenakan.

A Subramaniam, 52, berkata, keadaan itu disifatkan langkah paling selamat dalam membendung penularan wabak berkenaan.

"Kalau tak buat sekatan begini, saya kira akan masih ada orang luar datang ke Pulau Pangkor.

"Saya ni peniaga dan memanglah terkesan sebab perniagaan kita tak jalan, tetapi saya tetap sokong pelaksanaan sekatan ini demi keselamatan semua pihak," katanya.

A Subramaniam
A Subramaniam

Ramli Abu Bakar, 50, antara penduduk yang perlu berulang alik setiap ke Lumut demi memenuhi tuntutan kerja.

Bagaimanapun katanya, sekatan dikenakan sedikitpun tidak menjejaskan rutin hariannya kerana perkhidmatan feri diurus secara berjadual.

"Disebabkan dah ada sekatan, feri pun dah dikurangkan dan kami kena ikut jadual yang diberikan itu, dalam sehari ada empat waktu perjalanan pergi dan balik.

"Setakat ini tak ada masalah memandangkan majikan juga beri kelonggaran untuk pulang awal," katanya.

Ketika tinjauan dilakukan, jadual perjalanan perkhidmatan feri ditampal di bahagian pembelian tiket iaitu pada jam 7.15 pagi, 1.15 petang, 6 dan 7 petang bagi perjalanan Lumut-Pangkor.

Sementara Pangkor-Lumut pada jam 6.30 pagi, 2.45 petang, 5.15 petang dan 8 malam.